FAM jangan lambat gerak

Insiden yang menyaksikan Insa 'menyentuh' pengadil ketika aksi Liga Super di Stadium Perak pada 21 Mac lalu.
Insiden yang menyaksikan Insa 'menyentuh' pengadil ketika aksi Liga Super di Stadium Perak pada 21 Mac lalu.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) harus segera memutuskan sebarang bentuk hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan pemain bagi mengelak menjadi bahan kecaman peminat dan penyokong bola sepak tanah air.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berkata, Jawatankuasa Tatatertib FAM harus bertindak proaktif dalam menentukan hukuman bagi setiap kes.

“Bagi saya selaku badan induk bola sepak negara, FAM khususnya Jawatankuasa Tatatertib perlu melakukan tindakan dengan cepat. Ini bagi mengelakkan timbul sebarang dakwaan tidak benar terhadap FAM.

“Apabila sesuatu kes itu dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib, maka sebaik-baiknya keputusan dibuat tidak mengambil tempoh yang lama. Jadi pemain itu sendiri tahu dia dikenakan hukuman atau sebaliknya.

“Sebelum ini keputusan akan diputuskan sebelum perlawanan berikutnya, itu tempoh masa yang sepatutnya. Maka kita dapat tahu lebih awal status pemain berkenaan sama ada dia boleh beraksi pada perlawanan seterusnya atau dikenakan penggantungan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Insa bertelagah dengan pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super di Stadium Perak pada 21 Mac lalu.
Insa bertelagah dengan pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super di Stadium Perak pada 21 Mac lalu.

Dalam masa sama, Ridzuan berkata, ada juga kemungkinan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang kini dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu bersidang mengikut aturan bagi mengelak sebarang pertindihan kes.

“Sudah tentu Jawatankuasa Tatatertib akan bermesyuarat dalam menentukan sebarang bentuk hukuman ke atas pemain berdasarkan 'case by case'. Tetapi jangan sampai ambil masa yang lama sehingga menjejaskan kredibiliti mereka.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya apa yang dilakukan Jawatankuasa Tatatertib sudah mengikut aturan sebenar. Cuma nasihat saya sebaiknya kes itu diselesaikan dengan segera,” ujarnya.

Dalam aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak pada 21 Mac lalu, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dilihat ‘menyentuh’ pengadil Noor Azriel Baharudin.

Biarpun Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram memaklumkan kes Insa itu telah dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM, namun tiada sebarang keputusan dibuat ke atas pemain berdarah campuran itu sehingga kini.

Sebaliknya, Jawatankuasa Tatatertib FAM telah membuat keputusan terhadap empat kes membabitkan Jack Raymond Hindle (Kelantan FC); Alex Dos Santos Goncalves (Melaka United FC); Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (PJ City FC) dan Hein Htet Aung (Selangor FC).

“Bagi saya tindakan mesti diambil dan tidak boleh dikhas-khaskan atau ikut ‘pintu belakang’ kerana perkara ini serius dan boleh berulang lagi, mungkin lebih buruk,” jelas Ridzuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!