Jangan terpedaya produk sampah

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SEJAK akhir-akhir ini, ramai antara kita yang terlalu obses untuk kelihatan sihat dan cantik sehingga ada yang terpedaya dengan produk-produk yang dijual secara dalam talian.

Buktinya, baru-baru ini, kecoh di aplikasi TikTok apabila seorang jururawat bernama Eylaa berkongsi mengenai keadaan seorang pesakitnya.

Akibat terlalu taksub ingin putihkan kulit, gadis itu telah menggunakan kaedah whitening drip yang dijual pada harga RM15 sahaja.

Akibat daripada tindakan itu, gadis tersebut terpaksa dikejarkan ke hospital dengan sebahagian daripada organ dalamannya gagal berfungsi dengan baik.

Lebih parah, dirinya juga perlu melakukan rawatan dialisis angkara tindakannya menggunakan kaedah whitening drip tersebut.

Pastinya, dengan nilai tersebut ramai yang akan sanggup melabur demi kecantikan yang diimpikan.

Maka, tidak hairanlah ada yang sanggup bergadai apa sahaja termasuklah dari segi wang ringgit dan rela pula menerima rawatan yang tidak diiktiraf.

Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman menegaskan orang ramai sememangnya perlu peka dengan semua produk yang dijual.

Artikel Berkaitan:

Sebagai pengguna, kita perlu semak dahulu produk yang ingin digunakan itu.

Bahkan, lebih penting, jika mereka yang mempunyai penyakit kronik kerana perlu perbincangan yang lebih mendalam bersama doktor yang merawat.

Seperti kata Dr Arisman, melalui pengalamannya rata-rata daripada pesakit ‘termakan’ dengan pujuk rayu dan mulut manis si jurujual.

Contohnya, mereka sering disuruh agar mengambil produk suplemen tinggi protein untuk menyihatkan buah pinggang.

“Sebenarnya, inilah sikap penjual atau ejen yang tidak bertanggungjawab dan hanya memandai-mandai,” beritahu beliau.

Kesan

Memberi perincian ringkas, kata Dr Arisman, produk-produk berkenaan merangkumi jus, jamu, teh atau susu dengan pelbagai tuntutan kesihatan yang menipu.

Ujar beliau, ada juga beberapa orang pesakit dalam pemantauannya yang meminum jus dan jamu untuk sihat dan cantik sehingga memberi kesan yang sangat ketara kepada buah pinggang mereka.

Ternyata, jurujual produk kecantikan ini hanya memikirkan keuntungan dan mereka-reka dakwaan palsu tentang produk mereka semata-mata mahu melariskan jualan mereka.

Kadangkala keseronokan melihat hasil yang berkesan seawal mungkin boleh mengujakan si pengguna namun natijahnya pada kemudian hari, yang menanggung sengsaranya juga adalah tuan badan itu sendiri.

Menyesal kemudian tidak berguna lagi kan? Begitu jahatnya mereka si penjual produk sampah sehingga sanggup mengaut keuntungan dengan berikan kemudaratan kepada orang lain.

Sebab itu pengguna perlu bijak menilai sesuatu barangan atau produk sebelum membuat keputusan untuk mencuba.

Malah, orang ramai juga perlu memastikan ibu bapa masing-masing yang berada di kampung tidak terpengaruh dan mengamalkan produk-produk sampah serta teknik rawatan yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Banyak lagi cara tradisional dan petua-petua nenek moyang kita yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari untuk kecantikan dan kesihatan diri. Hanya perlu rajin dan bersabar.

Kadangkala proses yang mengambil masa lama selalunya akan mendatangkan hasil yang lebih berkesan dan kekal lama berbanding jalan pintas yang diperoleh daripada produk sampah yang berada di pasaran.

Apa-apa pun, jangan terburu-buru semasa membuat keputusan dalam memilih barangan.

Cara yang terbaik adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat doktor sebelum menggunakan sebarang produk atau teknik rawatan yang melibatkan aspek kesihatan dan keselamatan diri. Menyesal kemudian tidak berguna lagi.

* Siti Farah Eliani Solleh ialah wartawan SinarPlus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!