Anak muda perlu dididik sifat telus berbanding wang ringgit
PUTRAJAYA - Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Razim Mohd Noor menyifatkan anak muda perlu dididik dengan sifat ketelusan berbanding balasan wang ringgit.
Menurutnya, walaupun keadaan kini mementingkan wang ringgit, namun ucapan terima kasih adalah lebih baik berbanding menerima dan meminta duit.
Katanya, sifat murni itu semakin luntur dalam kalangan remaja dan perlu dipertingkatkan semula bagi menghindari daripada terlibat dengan gejala rasuah.
“Kita kena didik anak muda tentang ketelusan. Bukan semua yang kita buat, kita perlukan duit. Ada benda tak perlu duit. Cukuplah dengan ucapan terima kasih,” katanya selepas program Rasuah Busters Outreach di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada Ahad.
Razim berkata, anak muda perlu peka dan tidak menyambung kegiatan tersebut kerana mereka merupakan generasi yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.
“Apa yang kita lakukan sekarang, kita dah pergi ke prasekolah, sekolah rendah, menengah dan universiti untuk memantapkan jati diri yang kita panggil integriti dan juga antirasuah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Zaki Ibrahim berkata, penerapan antirasuah juga turut dilakukan melalui kandungan buku teks di sekolah.
Katanya, elemen tersebut merupakan satu cara bagi memperkenalkan usaha SPRM terhadap gejala tersebut dan dilakukan secara berperingkat.
“Elemen ini masuk dalam pelbagai subjek, sebab itu kita tidak boleh ada satu lagi subjek iaitu pengajian antirasuah. Jadi kita terapkannya dalam Bahasa Malaysia dan juga pelbagai lagi subjek.
“Di peringkat universiti pula, kursus rasuah dan integriti juga diperkenalkan di seluruh institusi pengajian tinggi dalam negara,” katanya.
Justeru, beliau mengharapkan kursus tersebut dapat diwajibkan oleh pihak universiti bagi mempergiatkan usaha membanteras rasuah.
Mengulas mengenai Rasuah Busters, kedua-dua mereka menyifatkan gerakan tersebut merupakan salah satu usaha murni yang menunjukkan sokongan kepada SPRM.
Menurut mereka, gerakan yang dijalankan secara berterusan itu dipercayai akan memberikan impak yang besar kepada masyarakat.
“Kami amat mengalu-alukan iltizam atau semangat yang ditunjukkan. Ini menunjukkan bahawa SPRM tidak dibiar bersendirian dalam memperjuangkan kempen antirasuah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!