PGA rampas 26 tan beras lebih RM2.6 juta
KLANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya merampas 26 tan beras seludup dan tidak bercukai bernilai lebih RM2.6 juta dalam serbuan ke atas sebuah treler dan sebuah gudang di sekitar Pelabuhan Klang pada Sabtu.
Operasi yang dijalankan itu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan beras yang dipercayai didalangi warga tempatan serta warga asing.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Superintendan Rizal Mohamed berkata, serbuan pertama yang dijalankan pihaknya telah menahan tiga individu dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah guni berwarna putih dari sebuah kontena ke dalam sebuah stor di Jalan Telok Gadong, Pelabuhan Klang.
"Serbuan dijalankan berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berumur 37 dan 38 tahun serta seorang lelaki warga asing berumur 26 tahun.
"Sebanyak 78 guni beras, 259 kampit beras dan 60 kotak beras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dengan anggaran 13 tan serta sebuah kontena berjaya dirampas, anggaran harga semasa rampasan beras adalah sebanyak RM584,700," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Pelabuhan Klang, di sini pada Isnin.
Katanya, hasil pemeriksaan di gudang menemukan 214 guni beras, 459 kampit beras dan 200 kotak beras pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai dengan berat 13 tan.
"Anggaran harga semasa beras tersebut adalah RM516,670 dengan nilai cukai sebanyak RM698,424 dan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM1,215,094.
"Jumlah keseluruhan anggaran nilai rampasan beras tidak bercukai ini melibatkan berat 26 tan bersama sebuah trailer adalah sebanyak RM2,659,474," katanya.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan itu, sekali gus memutuskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran beras seludup serta tidak bercukai di sekitar kawasan Klang.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk proses dokumentasi dan laporan polis.
"Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kawal Selia Padi dan Beras Selangor atas kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM25,000 dan semua barangan dirampas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!