Empat ADUN Bersatu boikot sesi libat urus Pulau Pinang

Khaliq Mehtab, Afif Bahardin
Khaliq Mehtab, Afif Bahardin
A
A
A

GEORGETOWN- Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan memboikot sesi libat urus ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan selama dua hari, bermula Isnin.

Pengesahan itu dibuat melalui satu kenyataan bersama keempat-empat ADUN tersebut yang terdiri daripada ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim dan ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Melalui kenyataan itu, mereka menyatakan pendirian untuk memboikot sesi libat urus itu selepas kerajaan Pulau Pinang menarik balik peruntukan yang telah diluluskan.

"Kami memboikot sesi libat urus itu berikutan tindakan berat sebelah pimpinan kerajaan Pulau Pinang yang menarik balik peruntukan yang telah diluluskan pada 20 Januari lalu kepada ADUN pembangkang berjumlah RM60,000 melalui surat yang bertarikh 19 Februari.

"Peruntukan tersebut amat penting untuk setiap ADUN bagi melaksanakan projek infrastruktur kemudahan rakyat dan awam. Namun, kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk bermain politik dan tidak profesional terhadap ADUN pembangkang tanpa menghiraukan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat pada hari ini," katanya.

Keempat-empat mereka turut mendesak kerajaan Pulau Pinang untuk berhenti menghukum rakyat dan tidak bermain politik ketika rakyat sedang berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi.

"Kami ADUN pembangkang akan tetap meneruskan khidmat kami dan berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Perikatan Nasional yang lebih prihatin dan tidak memilih bulu dalam melaksanakan segala program dan aktiviti berkaitan rakyat," katanya.

Sementara itu, semua ADUN UMNO dan Pas dilihat menghadiri sesi tersebut yang mana mereka terdiri daripada Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (Sungai Dua - UMNO), Nor Hafizah Othman (Permatang Berangan - UMNO) dan Mohd Yusni Mat Piah (Penaga - Pas).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!