Pelaku 'dedah' perbuatan rosak replika bot

Pengakuan pelaku merosakkan replika di Kuantan Art Street yang dimuat naik melalui Facebook mendedahkan identitinya sebelum dipanggil pihak MBK untuk tindakan lanjut. - Foto FB MBK
Pengakuan pelaku merosakkan replika di Kuantan Art Street yang dimuat naik melalui Facebook mendedahkan identitinya sebelum dipanggil pihak MBK untuk tindakan lanjut. - Foto FB MBK
A
A
A

KUANTAN - Usaha pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengesan individu yang merosakkan replika bot di Kuantan Art Street di sini berhasil selepas pelakunya sendiri 'tanpa sedar' mendedahkan perbuatan itu melalui laman sosial Facebooknya pada Ahad.

Pelaku telah dipanggil dan hadir ke pejabat bahagian penguatkuasa pada Isnin untuk membantu siasatan sebelum tindakan sewajarnya diambil atas perbuatannya itu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, kerosakan replika itu disedari petang pada Sabtu.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya melakukan siasatan bagi mengesan pelaku termasuk meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kawasan itu.

"Identiti pelaku berjaya dikesan berdasarkan satu 'posting' di Facebook yang dimuat naik sendiri individu berkenaan.

"Berdasarkan pengakuan itu, pelaku mengaku menyebabkan kerosakan hasil seni itu dan telah dipanggil untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Norkamawati berkata, tindakan pengunjung secara sengaja merosakkan hasil seni di lokasi tumpuan baharu di bandar Kuantan itu amat dikesalkan.

"Replika yang menghiasi Kuantan Art Street yang terletak di lorong belakang bangunan kedai antara Jalan Besar dan Jalan Mahkota itu hanya untuk tujuan bergambar.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapati ada pengunjung kurang peka dan tidak bertanggungjawab dengan melakukan tindakan yang boleh menyebabkan kerosakan pada replika disediakan," katanya.

Tambahnya, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku malah sebelum ini ada replika di situ rosak akibat perbuatan pengunjung.

"Walaupun tiada sebarang notis pemberitahuan diletakkan, pengunjung sepatutnya tahu fungsi replika dan mural yang menghiasi lorong itu dan mereka perlu bersama-sama menjaga supaya kemudahan itu agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Disebabkan perbuatan segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab ini bukan hanya boleh mencacatkan pandangan malah turut merugikan pihak MBK yang terpaksa membaiki kerosakan itu," katanya.

Menurutnya, pihak MBK akan meneliti tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian seumpama itu terus berulang.

"Sekiranya perlu, mungkin papan tanda peringatan akan diletakkan di kedua-dua pintu masuk Kuantan Art Street untuk perhatian pengunjung selain menambah CCTV bagi tujuan pemantauan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!