Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 19 April
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik, akan bermula 19 April ini, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, notis janji temu bagi suntikan vaksin akan diberikan mulai 5 April, dua minggu awal sebelum tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).
Khairy berkata, setakat semalam (28 Mac), kira-kira dua juta individu dalam golongan fasa kedua telah berdaftar menerusi MySejahtera, daripada sasaran sembilan juta orang.
“Sementara menunggu pendaftaran golongan fasa kedua dan bila bekalan vaksin mencukupi, mereka yang telah berdaftar di bawah fasa ketiga, akan didahulukan untuk menerima suntikan vaksin.
“Sekiranya pendaftaran fasa kedua perlahan atau rendah, kita tidak akan tunggu dan proses vaksinasi bagi fasa ketiga akan dipermudahkan,” katanya pada sidang akhbar perkembangan program imunisasi Covid-19, di sini pada Isnin.
Fasa ketiga membabitkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas dan dijadualkan berlangsung bermula Mei ini.
Beliau berkata, keputusan mempercepatkan fasa ketiga tidak bermakna yang kerajaan telah berputus asa dengan mereka yang masih belum mendaftar pada fasa kedua.
“Jika mereka yang difasa kedua lewat mendaftarkan diri untuk vaksinasi, terdapat algoritma pada MySejahtera untuk menolak mereka ke atas senarai giliran menunggu untuk menerima suntikan,” kata Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Mengulas kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedang menimbangkan untuk menetapkan tarikh akhir bagi pendaftaran vaksin Covid-19, beliau berkata cadangan itu sedang dalam perbincangan.
“Sekiranya pihak kami mendapati bahawa cadangan tersebut boleh memberi kesan positif kepada jumlah pendaftaran, maka pengumuman mengenai tarikh itu akan dibuat kelak,” katanya.
Setakat ini, katanya seramai 7,235,436 individu telah mendaftar di aplikasi MySejahtera, manakala 580,765 individu telah divaksinkan di bawah program imunisasi itu.
Lima negeri tertinggi bagi pemberian vaksin adalah Selangor yang mendahului dengan 75,317 dos, diikuti Perak 59,305 dos, Sarawak (57,034), Sabah (52,223) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (50,512), katanya.
Khairy Jamaluddin berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah mengenal pasti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar, yang akan dibuka di kawasan stadium, perkarangan stadium dan dewan persidangan besar.
“Ia akan diwujudkan terutamanya di bandar besar, kerana kalau kita bergantung kepada fasiliti Kementerian Kesihatan sahaja, memang tidak mencukupi,” katanya dengan memberikan contoh Sunway Pyramid Convention Centre yang akan digunakan sebagai PPV.
Sementara itu Khairy Jamaluddin berkata, AstraZeneca akan menghantar jadual penghantaran vaksin mereka minggu ini.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!