MotoGP: Permulaan mengecewakan Morbidelli, Rossi

Aksi Rossi di Litar Antarabangsa Losail di Qatar, pada Ahad. - Foto Petronas SRT
Aksi Rossi di Litar Antarabangsa Losail di Qatar, pada Ahad. - Foto Petronas SRT
A
A
A

PERLUMBAAN pembukaan MotoGP 2021 menjadi igauan buruk dan mengecewakan buat Petronas Yamaha Sepang Racing Team di Litar Antarabangsa Losail di Qatar, pada Ahad.

Kedua-dua pelumbanya Valentino Rossi dan Franco Morbildelli yang menghadapi masalah mekanikal, masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan ke-18.

Perlumbaan pertama Rossi bersama Petronas Yamaha SRT bermula dengan pelumba itu jatuh tiga kedudukan pada permulaan untuk menduduki tempat ke tujuh pada pusingan pertama.

Pada bahagian awal perlumbaan, Valentino jatuh ke tempat ke-12 sebelum terus ketinggalan ke kedudukan ke-16 pada pusingan ke-12, sebelum berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-12.

Rossi mengakui yang beliau menghadapi masalah di sepanjang perlumbaan itu dengan masalah tayar motosikalnya itu bermula hanya selepas beberapa pusingan, terutamanya pada tayar belakang.

“Kami mengharapkan ia satu perlumbaan dengan masalah yang kurang hari ini, dengan cuaca yang lebih sejuk, namun keadaannya tetap sama dan saya kehilangan beberapa kedudukan. Kini kita akan cuba baikinya dan jadikannya lebih baik untuk perlumbaan minggu hadapan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pasukan itu hari ini.

Perlumbaan pembukaan musim 2021 menyaksikan Marverik Vinales dari Monster Energy Yamaha MotoGP melakukan perlumbaan yang cemerlang untuk menjuarainya, manakala Johann Zarco (Pramac Racing) di tempat kedua, dan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) di tempat ketiga.

Morbidelli yang menyifatkan perlumbaan itu sebagai suatu yang sukar, berharap dapat mengkaji secara mendalam mengenai masalah yang dihadapinya di Qatar.

Artikel Berkaitan:

“Agak malang kerana kami hadapi perlumbaan yang sukar, namun yang bagusnya kami mempunyai data-data bagi memahami apa yang berlaku. Saya berharap kami boleh betulkannya untuk minggu hadapan,” kata Morbidelli.

Dalam kategori Moto3, Darryn Binder mengakhiri perlumbaan pertamanya bersama Petronas Sprinta Racing di tempat ketiga, manakala seorang lagi pelumba pasukan itu John McPhee tidak bernasib baik, apabila terlibat dalam satu kemalangan bersama seorang lagi pelumba pada pusingan ketiga.

“Berada di podium untuk perlumbaan pertama musim ini adalah sesuatu yang amat saya perlukan,” kata Binder.

Sementara itu pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili pasukan NTS RW Racing GP, gagal menamatkan perlumbaan dan hanya melengkapkan 11 pusingan pada perlumbaan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!