Kebakaran loji penapis minyak Pertamina: Tiada mangsa terkorban, tiga hilang
JAKARTA - Tiada pekerja Pertamina dilaporkan terkorban dalam kejadian kebakaran dan letupan dahsyat yang berlaku di loji penapis minyak, syarikat minyak dan gas nasional Indonesia di Indramayu, Jawa Barat, kira-kira 200 kilometer dari sini.
"Kebakaran kini terkawal, proses pemadaman sepenuhnya dijangka selesai empat atau lima hari, tiada kemalangan jiwa (libatkan petugas Pertamina) dalam kejadian berkenaan," kata Direktur Utama Pertamina, Nicke Widyawati pada sidang akhbar yang diadakan secara maya, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, sebuah tangki di kilang Pertamina Balongan itu terbakar ketika hujan lebat dan petir di kawasan berkenaan, sebelum api merebak ke seluruh loji berkenaan.
Kebakaran dan letupan kuat di loji berkenaan menyebabkan penduduk di kawasan sekitar panik dan bertindak meninggalkan kediaman mereka ke kawasan yang lebih selamat.
Menurut laporan media tempatan, beberapa rumah penduduk di kawasan sekitar turut mengalami kerosakan ringan akibat letupan daripada loji berkenaan.
Sementara itu, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) dalam satu kenyataan berkata, seramai 912 penduduk dari beberapa kampung berdekatan melibatkan Desa Balongan, Desa Sukareja, Desa Rawadalem, Desa Sukaurip dan Desa Tegalurung, kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
"Setakat ini (11 pagi waktu Indonesia barat), lima orang awam cedera parah, 15 cedera ringan, manakala tiga masih dilaporkan hilang berikutan kejadian itu," kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Kebencanaan BNPB, Dr Raditya Jati dalam satu kenyataan.
Loji penapis Balongan itu antara tujuh loji penapisan minyak utama Pertamina yang memproses minyak mentah dan telah beroperasi sejak 1994. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!