Siaran langsung angkat sumpah jawatan Hakim Mahkamah Rayuan
PUTRAJAYA - Pihak Badan Kehakiman akan menyiarkan secara langsung Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia lima Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada Khamis ini.
Tayangan langsung pada Khamis itu juga akan menyiarkan majlis sembilan individu yang bakal menerima surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), majlis itu akan diadakan di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, di sini pada jam 2.30 petang, pada 1 April.
"Sesuai dengan perkembangan dan kemajuan teknologi masa kini, Badan Kehakiman Malaysia akan mengadakan tayangan langsung Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia untuk tontonan umum.
"Inisiatif ini bertujuan agar orang awam dapat melihat sendiri upacara pelantikan seseorang hakim itu dijalankan selain memberi pendedahan mengenai institusi Badan Kehakiman Malaysia," kata PKPMP.
Orang ramai boleh menyaksikan siaran langsung itu melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia di pautan www.kehakiman.gov.my dan saluran media sosial rasmi YouTube dan Facebook: Badan Kehakiman Malaysia: The Malaysian Judiciary. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!