APM pantau 113 lokasi berisiko banjir di Negeri Sembilan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir atau ribut berikutan berlakunya peralihan monsun di negara ini.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel Mohd Syukri Madnor berkata, terdapat sebanyak 113 lokasi hotspot banjir di negeri ini yang mana daerah Seremban mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 34 kawasan dari lembangan Sungai Linggi.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi berkaitan perkembangan cuaca dan situasi air sungai dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Dalam tempoh dua minggu ini, walaupun cuaca pada waktu pagi adalah baik, tapi apabila petang biasanya akan berlaku hujan.

"Apa yang kita gerakkan ialah apabila terdapat laporan di peringkat bencana negeri, kita akan buat pemantauan terlebih dahulu terutama di lokasi hotspot ini sebagai langkah berjaga-jaga," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, APM akan berwaspada sekiranya bacaan hujan dari Jabatan Meteorologi menunjukkan bacaan 60 millimeter padu dalam tempoh satu jam.

Selain itu, katanya, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu yang turut mengakibatkan angin kencang, pihaknya turut bersedia sekiranya berlaku kejadian ribut yang mengakibatkan kejadian pokok tumbang.

"Kita menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka terhadap keadaan cuaca ketika musim hujan dan sentiasa mengawasi kanak-kanak bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!