Surau Istana Negara diisytihar untuk solat Jumaat

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (lima, kiri) bersama jemaah yang lain menunaikan solat Jumaat di Surau Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (lima, kiri) bersama jemaah yang lain menunaikan solat Jumaat di Surau Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Surau Utama Istana Negara, di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 1.10 tengah hari diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Hadir sama, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu'adzam Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Wilayah Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Majlis pengisytiharan surau utama Istana Negara untuk solat Jumaat juga diadakan sebelum solat hari ini yang mana akan dilaksanakan secara berterusan selepas ini.

Pengisytiharan itu dilaksanakan menerusi penyerahan watikah pengisytiharan oleh Pengarah Jawi Ajib Ismail kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sambil disaksikan Al-Sultan Abdullah.

Khutbah Jumaat bertajuk 'Masa, Peliharalah' disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut mengimamkan solat.

Dalam khutbah itu, Dr Zulkifli berkata masa perlu dipelihara kerana ia adalah nikmat berharga dan patut diisi dengan perkara bermanfaat seperti berzikir dan menghadiri majlis ilmu.

Selesai solat Sultan Abdullah berkenaan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama jemaah di Dewan Santapan Utama.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!