Bazar Peduli Rakyat kini di Kota Bharu
KOTA BHARU - Bazar Peduli Rakyat (BPR) yang dimulakan di Pulau Pinang awal Februari lalu kini dikembangkan ke Kelantan hari ini.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Ishak Ismail berkata, BPR yang mengetengahkan produk tempatan dengan harga lebih rendah itu melibatkan petani dan peniaga yang membawa terus keperluan dari ladang.
Beliau berkata, harga yang ditawarkan di bazar itu lebih rendah lima hingga 20 peratus.
"Menteri Pertanian telah melancarkan lima hala tuju sektor pertanian ini dan salah satu daripadanya adalah untuk meningkatkan pendapatan petani dan nelayan di samping menumpukan aspek kos sara hidup.
"Justeru, bazar di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung ini salah satu yang kita mulakan daripada 749 tapak pasar tani yang terlibat," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Karnival Bazar Peduli Rakyat di RTC Tunjung hari ini.
Ishak berkata, BPR diharap akan dapat mengambil posisi menyelesaikan isu utama iaitu menurunkan harga agro makanan yang dijual.
Bazar tersebut menjadi tumpuan kebanyakan barang dijual pada harga lebih rendah dari pasaran termasuk buah tembikai yang dijual terus dari ladang dengan harga RM1 sekilogram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!