Keputusan tidak mahu bekerjasama dengan PN hak politik UMNO
SHAH ALAM - Keputusan UMNO untuk tidak mahu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah pilihan parti itu.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh parti mereka untuk membimbing keputusan berkenaan.
“Keputusan itu juga adalah hak politik UMNO untuk menentukan hala tuju politik mereka dalam menghadapi PRU15.
“Bagi Bersatu, usaha untuk memperkukuhkan ekonomi negara dan menangani pandemik Covid-19 akan terus menjadi keutamaan demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: BN putus akan hadapi PRU15 bersendirian: Ahmad Zahid
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad berkata, keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 adalah muktamad.
Ahmad Zahid berkata, UMNO juga menolak pembentukan gabungan politik bersama PN.
Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan menambah, Pilihan Raya NegerI (PRN) Sabah pada September tahun lalu telah membuktikan bahawa rakyat kini matang untuk menilai gabungan parti yang mampu menjanjikan tawaran baharu bagi mereka.
Katanya, di Sabah, kekuatan melalui kerusi-kerusi tradisi bukan satu-satunya faktor pertimbangan bagi rakyat untuk menilai gabungan parti yang akan diangkat sebagai kerajaan.
“Toleransi politik yang berlaku dalam kalangan parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hingga berjaya menumpaskan parti Warisan boleh dijadikan iktibar oleh semua.
“Nyatanya, musuh politik UMNO bukan Bersatu tetapi Pakatan Harapan (PH). Peliknya, Bersatu dijadikan ‘punching bag’ bagi UMNO dalam PAU 2020,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!