Antara logo halal dengan restoran pengusaha muslim

A
A
A

SETIAP manusia di muka bumi ALLAH ini dituntut untuk menjalani kehidupan seharian mereka berpandukan syariat ALLAH SWT.

Antara tuntutan syarak yang perlu dipenuhi setiap hamba ALLAH adalah mencari makanan yang halal sepertimana yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Perkara ini ditekankan oleh Allah SWT melalui firman-Nya: "Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah: 168).

Sesuatu makanan yang halal ditentukan melalui proses pembuatan yang mana ia perlu menepati piawaian halal yang telah ditetapkan syarak. Sumber makanan itu perlulah tidak berasaskan elemen-elemen yang haram seperti arak, khinzir, darah, najis dan binatang yang tidak sembelih mengikut hukum syarak.

Selain itu, faktor keselamatan dan kebersihan amat dititikberatkan oleh Islam, maka, makanan yang mengandungi bahan membahayakan nyawa diharamkan seperti makanan mengandungi bahan beracun.

USTAZ SYED SHAHRIDZAN
USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Salah satu cara untuk memastikan makanan yang bakal diambil itu sama ada halal atau pun tidak, merujuk kepada ahli yang mempunyai kepakaran dalam bidang halal. Dalam konteks Malaysia, kita perlu merujuk kepada badan agama yang ada autoriti dalam bidang ini seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri bagi memastikan makanan yang dijual di kedai-kedai makan dapat dipastikan kedudukan halal lebih-lebih lagi makanan yang disajikan di restoran-restoran bukan Islam.

Ini dianggap penting kerana restoran-restoran yang dikendalikan individu bukan Islam dapat dibimbing dan dipastikan agar makanan yang dijual kepada orang Islam mestilah halal menurut syarak. Jika tidak, restoran sebegini tidak diiktiraf sebagai kedai yang menyediakan makanan halal.

Oleh itu, pentingnya logo halal yang sah kerana umumnya penyediaan makanan yang berlandaskan syarak bukanlah cara yang dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat bukan Islam.

Manakala restoran-restoran yang dikendalikan Muslim, tidak menjadi masalah yang besar jika tidak memiliki logo halal yang sah. Ini memandangkan individu-individu muslim sememangnya mempraktikkan penyediaan makanan yang halal, sama ada dari sudut sumber makanan atau produk dan proses penyediaannya. Jadi, jika seseorang berhajat untuk menikmati makanan di mana-mana restoran Muslim, tidak perlu risau tentang status halalnya kerana kebiasaannya restoran Muslim tidak menyediakan makanan yang berunsurkan tidak halal.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, setiap Muslim perlu menitikberatkan sikap warak dan berhati-hati dalam pemilihan makanan. Begitu banyak sekali hadis-hadis Rasulullah SAW menekankan gaya hidup yang berhati-hati terutama dalam perihal kebersihan dan perkara yang melibatkan halal dan haram. Apa yang dirisaukan adalah pemahaman halal menurut golongan bukan Islam tidak sama seperti yang ditetapkan oleh syarak kerana pengetahuan mereka yang cetek dan tidak meluas mengenai halal dan haram menurut Islam.

***Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed (Pendakwah bebas & penulis buku)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!