Tiada elemen sabotaj dalam nahas helikopter di Malaysia

Chester (kanan) ketika mempengerusikan taklimat keselamatan bersama pengendali helikopter di bilik mesyuarat CAAM, Putrajaya pada Isnin. Foto Bernama
Chester (kanan) ketika mempengerusikan taklimat keselamatan bersama pengendali helikopter di bilik mesyuarat CAAM, Putrajaya pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan bahawa tiada unsur sabotaj wujud dalam kemalangan membabitkan helikopter di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Chester Voo berkata, kemalangan yang berlaku adalah disebabkan faktor cuaca atau isu penyelenggaraan membabitkan helikopter.

“Setakat ini, tiada elemen mengatakan sabotaj...biasanya sebab cuaca atau penyelenggaraan kerana helikopter ini sama macam kereta dan ia memerlukan penyelenggaraan berterusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan taklimat dengan lebih 20 pengendali helikopter, di sini pada Isnin.

Mengenai taklimat berkenaan, Chester berkata, CAAM memberi nasihat dan peringatan tentang kepentingan penyelenggaraan dan operasi helikopter berikutan tiga kemalangan melibatkan helikopter berlaku dalam tempoh kurang enam bulan.

Pada 24 Mac lepas, dua cedera manakala tiga lagi selamat selepas helikopter jenis Airbus AS350 B3 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Pada 8 November tahun lepas, dua helikopter jenis 9M-HCA dan 9M-HCB bertembung di udara di Taman Melawati, pinggiran Kuala Lumpur mengakibatkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohamed Sabri Baharom, 56, dan ahli perniagaan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rai, 41, terkorban.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd, Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan penumpang Tan Chai Eian, 51, bagaimanapun dilaporkan selamat selepas melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan.

Pada 1 Januari lepas, dua lelaki cedera ringan setelah helikopter ringan yang dinaiki mereka terhempas di sebidang tanah kosong di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Pulau Indah, Klang.

Artikel Berkaitan:

Mengenai punca kemalangan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang itu, Chester berkata, Biro Siasatan Udara Kementerian Pengangkutan (BSKU) akan menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kemalangan helikopter jenis Airbus AS350 B3 itu.

“Siasatan dilakukan oleh BSKU dan selepas laporan siasatan keluar nanti, CAAM akan ambil dan kemudiannya sarankan kepada pihak industri mengenai penambahbaikan yang perlu dibuat. Punca sebenar kejadian masih belum diketahui,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!