Bangunkan semula tapak Uptown Puchong Permai
SHAH ALAM - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sedang merangka kaedah terbaik untuk membangunkan semula kawasan tapak Uptown Puchong Permai yang terlibat dalam kebakaran membabitkan 200 premis perniagaan di situ baru-baru ini.
Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, bagaimanapun buat masa ini, pihaknya masih belum dapat menyatakan secara terperinci apa kaedah yang akan dibuat berikutan ia masih dalam kajian pihaknya.
Menurutnya, untuk membangunkan semula tapak tersebut memerlukan masa kerana ia juga melibatkan peruntukan.
Katanya, Uptown tersebut bukan milik MPSJ atau kerajaan dan ia ditubuhkan atas inisiatif pengurusan Uptown itu sendiri.
"Jadi bila tiba-tiba berlaku musibah sebegitu, MPSJ memang tidak bersedia dari segi perancangan untuk membangunkan semula tapak perniagaan tersebut kerana tiada peruntukan.
"Tapi, kita bersama kerajaan negeri tetap akan cari kaedah terbaik termasuk peruntukan supaya matlamat asal pembangunan usahawan kecil dapat diteruskan," katanya ketika ditemui selepas siaran langsung FBLive Sinar Harian, hari ini.
Noraini berkata, buat masa ini, pihaknya hanya dapat menawarkan para peniaga terlibat dengan menyediakan tapak niaga terletak di kawasan bersebelahan dengan Uptown tersebut.
"Kita tak ada bangunan tapi kita sediakan tapak berniaga ini khusus untuk tempatkan semula peniaga-peniaga kecil Puchong Indah yang berada di jalan serta kawasan sekitar untuk berniaga secara harian seperti pasar pagi dan pasar malam.
"Jika peniaga Uptown berminat, mereka boleh buat permohonan tapak tersebut dengan Majlis..Setakat ini, itu sahaja pilihan atau ruang yang kita ada untuk bantu mereka terus berniaga," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberitahu sudah bertemu dengan MPSJ untuk membincangkan bantuan serta rancangan pembangunan semula tapak perniagaan Uptown tersebut.
Katanya, perkara itu bagaimanapun masih belum diputuskan sehingga laporan lengkap diterima daripada MPSJ.
Terdahulu, sebanyak 200 lot kedai di Uptown Puchong Permai musnah dalam satu kebakaran membabitkan kerugian mencecah RM1 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!