Neuer akui Jerman kurang tenang

Loew (kiri) bersalam dengan Neuer selepas berakhirnya perlawanan menentang Romania di Bucharest. Foto: AFP
Loew (kiri) bersalam dengan Neuer selepas berakhirnya perlawanan menentang Romania di Bucharest. Foto: AFP
A
A
A

PENJAGA Jerman, Manuel Neuer mengakui Romania merupakan pesaing yang sukar ditewaskan selepas menang tipis ke atas lawan mereka pada aksi kedua kelayakan di laman lawan.

Menurut Neuer, skuad kendalian Mirel Radoi ternyata sebuah pasukan yang memiliki pertahanan kental sekali gus menyukarkan pelawat menambah lebih banyak jaringan gol.

“Pemain Jerman dipaksa bekerja keras untuk melakar kemenangan pada perlawanan ini. Kami seharusnya boleh mendahului lebih awal dan menambah lagi jaringan selepas itu.

“Namun sebaliknya lawan memberikan tekanan selepas kami mendahului gol pertama sekali gus mendatangkan tekanan kepada pertahanan dalam menyerap asakan.

“Seandainya kami mampu menjaringkan gol kedua dan ketiga sekurang-kurangnya memberikan sedikit kelegaan. Saya akui kami kurang tenang, kebijaksanaan dan tindakan penyudah yang tajam selain kecemerlangan penjaga gol lawan pada perlawanan ini,” katanya.

Dalam aksi di Nasional Arena Bucharest itu, gol jaringan separuh masa pertama Serge Gnabry sudah cukup untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Die Mannschaft dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Romania.

Kemenangan itu membolehkan Jerman terus memimpin Kumpulan J dengan enam mata hasil tiga perlawanan selepas mengharungi dua perlawanan

dengan perbezaan satu jaringan berbanding pencabar terdekat Armenia yang turut memenangi kedua-dua perlawanan pertama mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi pembukaan di Schauinsland-Reisen-Arena Duisburg sebelum ini anak buah Joachim Loew itu memulakan kempen langkah kanan apabila menewaskan Iceland, 3-0 pada 26 Mei lalu.

Dalam pada itu, pemain tengah Jerman, Joshua Kimmich juga mengakui bahawa Jerman seharusnya tidak berdepan masalah mengatasi lawan mereka sekiranya menyempurnakan setiap peluang.

“Sepatutnya kami memudahkan perlawanan ini, namun sebaliknya yang berlaku dan cukup bernasib baik apabila Romania tidak menyamakan kedudukan pada minit ke-90.

“Kami menguasai setiap bahagian dan mengawal perlawanan. Pemain-pemain Jerman pula kebanyakannya memiliki penguasaan bola penuh, namun masih gagal menemui tindakan penyudah yang sempurna,” kata Kimmich.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!