Menteri Besar Kedah nafi pilih kasih, buli pegawai UMNO

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan wujud pilih kasih dalam layanan terhadap pegawai di pejabat Menteri Besar Kedah seperti didakwa.

Menurut beliau, tiada pegawai khas menteri besar dari kalangan UMNO dianak tirikan mahupun ‘dibuli’ oleh mana-mana pihak.

“Walaupun pegawai khas daripada Pas lebih ramai berbanding UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun mereka dilayan secara profesional.

"Kita telah bina suasana kekeluargaan di pejabat diwakili parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai pegawai khas saya. Tiada kem parti politik di sini, kami bekerja sebagai kerajaan untuk seluruh rakyat Kedah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata demikian bagi menepis dakwaan dilontarkan perwakilan Pemuda UMNO dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Ahad.

Berdasarkan ucapan Mohd Fadzil Zolkipli yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kedah itu, wujud persepsi bahawa pegawai khas daripada UMNO 'kena buli', dikutuk, dipertikai oleh pegawai-pegawai khas lain di pejabat Menteri Besar Kedah susulan langkah politik diambil UMNO, khususnya dalam isu i-Sinar (KWSP) dan moratorium.

“Beliau bercakap tidak benar apabila memperihalkan suasana di pejabat Menteri Besar Kedah. Selama saya di sini, tidak ada sesiapa pun pernah bersembang tentang politik kepartian di pejabat. Saya tidak pernah dengar,” katanya.

Menurutnya, tidak pernah sesiapapun mengutuk UMNO, Pas atau Bersatu termasuk mempertikai langkah-langkah politik UMNO.

Artikel Berkaitan:

“Nama-nama pemimpin politik pun tidak pernah disebut dalam urusan kerja di Pejabat Menteri Besar. Hubungan kerja dalam satu pasukan seperti adik beradik, tidak ada kurang tidak ada lebih. Bezanya Mohd Fadzil jarang ada di pejabat kerana melakukan tugasan di luar,” katanya.

Muhammad Sanusi tegaskan, apa yang digambarkan berlaku di pejabat Menteri Besar Kedah tidak seperti digambarkan Mohd Fadzil dalam ucapan beliau.

“Dalam konteks hubungan antara kakitangan dan pegawai berlainan parti politik, apa didakwa itu tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Armishah Siraj berkata, urus tadbir pejabat Menteri Besar Kedah adalah inklusif, tanpa elemen segregasi politik, ideologi, perbezaan agama mahupun kaum dijadikan alat untuk meminggirkan mana-mana pihak.

“Tidak ada tekanan politik atau berbeza fahaman politik yang dijadikan sandaran dalam memberikan layanan berbeza.

"Kami kesal Mohd Fadzil bertindak secara tidak matang dan profesional dalam mengemukakan contoh yang dicipta semata-mata untuk menjadikan perbahasannya lebih menarik dan diberi tumpuan,” katanya.

Menurutnya, kenyataan itu memberi imej kurang baik dengan membawa refleksi seolah-olah urus tadbir di Pejabat Menteri Besar Kedah tidak dilaksanakan secara profesional, adil, berhemah dan saksama.

“Selaras dengan misi dan pendekatan Menteri Besar untuk semua, bukannya Menteri Besar Pas, semua kakitangan bekerja sebagai satu keluarga atas nama berpasukan untuk memberi khidmat kepada seluruh rakyat Kedah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!