DUN, Japerun berhak nilai prestasi MPKK

Ketua Menteri, Adly Zahari bersalaman dengan tetamu yang hadir di program Wacana Ilmu di Auditorium Seri Negeri di sini.
Ketua Menteri, Adly Zahari bersalaman dengan tetamu yang hadir di program Wacana Ilmu di Auditorium Seri Negeri di sini.
A
A
A

MELAKA - Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan DUN berhak membuat keputusan terhadap hal berkaitan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang menyifatkan langkah tersebut bertujuan untuk memastikan pihak pengurusan kepimpinan setiap kampung mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Jika MPKK mempunyai masalah salah laku, kerajaan akan membuat keputusan sama ada melucut atau melantik berdasarkan laporan yang diterima.

"Lagi pula, terdapat jawatankuasa yang ditubuhkan berkaitan pelantikan dan pemecatan MPKK, malah prosesnya adalah sama seperti sebelum ini," katanya pada sidang media selepas program Wacana Ilmu di Auditorium Seri Negeri.

Adly diminta mengulas mengenai isu penggantungan MPKK DUN Gadek baru-baru ini dan menyatakan isu berkenaan sama sekali tiada kaitan dengan isu agama.

"Isu pelantikan MPKK di DUN itu (Gadek) memang berlarutan dari tahun lalu, kerana ia melibatkan prestasi dan kredibiliti mereka.

"Penilaian masih diteruskan dan sepanjang dalam tempoh itu juga boleh berlaku penamatan mahupun pelantikan baharu," katanya.

Beliau berharap MPPKK perlu berintegriti dalam melaksanakan tugas terbaik demi memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Perkasa minta perjelas sebab pemecatan pengerusi MPKK

Sinar Harian, Rabu lalu melaporkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Melaka, mendesak ADUN Gadek, G Saminathan memberikan penjelasan berhubung sebab sebenar Pengerusi MPKK Gadek, Ramlan Ibrahim, dipecat.

Ia tular di Facebook yang mendakwa alasan Ramlan dipecat adalah kerana penganjuran ceramah agama.

Bagaimanapun, Saminathan menerusi kenyataan yang dikeluarkan, menafikan fitnah terbabit dan menyifatkan status yang tular itu semata-mata bertujuan memburukkan dirinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!