Reezal Merican harap lebih banyak memori manis dilakar atlet negara
MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap supaya lebih banyak kejayaan manis mampu dilakar atlet negara sepanjang tahun ini khususnya menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan.
Ia susulan kejayaan atlet negara di pentas antarabangsa terutama dari sukan badminton dan berbasikal sejak minggu lepas.
“Tahniah kepada atlet dan pasukan. Kejayaan ini adalah hasil kerja keras semua yang terlibat termasuklah jurulatih, pengurusan, persatuan sukan kebangsaan, pasukan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) serta mereka yang bekerja di belakang tabir.
“Saya sentiasa percaya bahawa sukan adalah medan kebersamaan kita. The moment of unity (detik perpaduan). Saya juga percaya akan kebolehan dan kemampuan atlet kita.
“Semangat enggan mengalah dan semangat untuk negara menjadi azimat kemaraan mereka untuk mencipta kejayaan demi kejayaan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, Instagram dan Twitter pada Isnin.
Baru-baru ini, pemain perseorangan lelaki utama Lee Zii Jia menghadiahkan khabar gembira buat arena sukan negara selepas menewaskan pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark, untuk muncul juara All England 2021, diikuti prestasi memberangsangkan gandingan wanita Pearly Tan-M Thinaah serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
“Hujung minggu ini juga kita menerima berita kejayaan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Azizulhasni Awang di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 di Brisbane bagi acara keirin dan pecut.
“Begitu juga Badminton Terbuka Poland 2021. Pemain muda Malaysia merangkul gelaran juara dalam tiga kategori (perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran).
“Tahniah Ng Tze Yong, Man Wei Chong, Tee Kai Win, Chang Yee Jun, Chia Wie Jie, Choong Hon Jian dan Toh Ee Wei,” katanya.
Kem berbasikal trek negara yang berpangkalan di Melbourne, Australia menghadiahkan masing-masing satu pingat emas dan gangsa serta dua perak pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2021 menerusi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Azizulhasni Awang.
Muhammad Shah Firdaus dan Mohd Azizulhasni masing-masing menyumbang pingat emas dan perak acara keirin dalam penamat satu dua, manakala dalam acara pecut pula dua pelumba itu menyumbang perak (Mohd Azizulhasni) dan gangsa (Muhammad Shah Firdaus) di Velodrom Anna Meares di Brisbane, Australia.
Pemain badminton remaja negara pula menggondol tiga gelaran Terbuka Poland menerusi Tze Yong (perseorangan lelaki) yang mengejutkan pilihan kedua Pablo Abian dari Sepanyol, diikuti gandingan Choong Hon Jian-Toh Ee Wei (beregu campuran) menewaskan Nicolas A Mueller-Ronjan Stern dari Switzerland.
Beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menundukkan rakan senegara Chang Yee Jun-Chia Wei Jie untuk menjuarai kategori berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!