UiTM FC masih percaya sentuhan Bernhardt
UiTM FC masih meletakkan kepercayaan terhadap Frank Bernhardt bagi mengemudi The Lions biarpun kelab itu berada dalam keadaan terumbang-ambing dalam saingan Liga Super pada masa ini.
Setiausaha Agung UiTM FC, Mustaza Ahmad berkata, pengalaman bekas pengendali Harimau Muda berusia 51 tahun masih menjadi taruhan utama kelab tersebut dalam mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
“Dari segi taktikal dalam lima perlawanan liga sebelum ini, semuanya berjalan lancar seperti dirancang. Namun, corak permainan UiTM FC masih kurang mantap.
“Sebagai contoh penyerang utama Nana Poku kurang mendapat hantaran bagi membolehkannya menjaringkan gol, jadi inilah antara perkara yang sedang diperbaiki oleh Bernhardt.
“Tempoh rehat ini kita juga giat memperbaiki beberapa kelemahan lain serta berharap pemain-pemain yang cedera akan kembali pulih dan saya optimis UiTM FC akan kembali ke prestasi sebenar seperti sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Status Bernhardt bersama UiTM FC mula menimbulkan persoalan selepas lima perlawanan apabila skuad kendaliannya sekadar berada pada kedudukan ke-12 dengan mengumpul satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya.
Empat lagi keputusan menyaksikan kelab dari Lembah Klang itu tewas kepada Terengganu FC 1-2; Kuala Lumpur City FC (0-1); Johor Darul Ta’zim (0-4) dan Kedah Darul Aman FC (0-1).
Dalam masa sama, Mustaza memaklumkan The Lions akan menguji kemantapan pemain apabila berdepan PDRM FC dalam aksi persahabatan di Stadium UiTM, Shah Alam pada Selasa.
UiTM FC akan menyambung kembali saingan Liga Super apabila dijadual berdepan Selangor FC pada 3 April ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!