‘Berlaku favouritisme dalam kemasukan tender’
SHAH ALAM - Usahawan terkenal, Datuk Sharifah Shareen Al Mashoor mendakwa berlakunya ‘favouritisme’ dalam kemasukan tender semasa perniagaannya berkembang.
Menceritakan dalam Program Mak Untuk Malaysia (MUM) anjuran Sinar Harian, Sharifah Shareen berkata, sewaktu berniaga secara kecil-kecilan, beliau tidak mengambil kisah dengan perkara seperti ‘favouritisme’ kerana pada waktu berkenaan hanya menumpukan untuk mencari wang.
“Tapi bila perniagaan menjadi besar, kita buat perniagaan untuk klien korporat dan berpindah ke Kuala Lumpur, baru kita nampak terjadi syarikat ‘favourite’ (dalam permberian tender).
“Mungkin (syarikat) dia ‘favourite’ orang ini,” katanya ketika menjadi panel Program MUM di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh hos program yang juga merupakan pelakon popular, Irma Hasmie berkenaan adakah berlakunya masalah rasuah dan integriti semasa menceburkan diri dalam perniagaan.
Pemilik Hotel The Lov Penang itu menambah, pada waktu berkenaan, apa yang diketahuinya jika masuk sesuatu tender akan ada kemenangan.
“Waktu itu kita tahu masuk tender, menang. Rupanya ada juga (apabila) masuk tender (kena) kenal orang, baru dapat menang,” dedahnya.
Dalam program yang berlangsung kira-kira 46 minit itu, Sharifah Shareen turut memberi tiga pesanan berhubung kempen ‘Mak Kata Jangan’ yang diinisiatifkan oleh #RASUAHBUSTERS.
Tiga pesanan diberikan oleh Sharifah Shareen adalah jangan mengambil hak orang, jangan menipu orang dan jangan memandai-mandai.
“Jangan ambil hak orang. Jangan tipu orang, sebab bila kita tipu orang, orang lain pula akan tipu kita. Jangan memandai-mandai, kalau tak tahu tanya,” katanya ketika memberi pesanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!