Atlet para Sukma hero luar biasa
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata masyarakat perlu belajar daripada semangat enggan menyerah kalah atlet Para Sukma, bukan sahaja dalam acara sukan tetapi juga dalam kehidupan seharian.
“Kita mesti akui, mereka telah membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya. Moga-moga, ini akan menjadi pencetus semangat kepada kita semua untuk tidak sekali-kali mengalah dengan cabaran dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Para Sukma Perak 2018 di Stadium Indera Mulia di sini malam ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.
Ahmad Faizal berkata temasya Para Sukma sebagai medan yang disediakan oleh kerajaan bagi memberi ruang kepada bakat muda daripada golongan istimewa untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Kalah dan menang adalah adat permainan. Apa yang lebih penting yang saya mahu tekankan di sini adalah komitmen semua atlet istimewa kita yang telah memberikan yang terbaik sepanjang temasya ini berlangsung.
Sesungguhnya, semangat dan iltizam anda dalam membuat persiapan untuk sampai ke sini dan mengambil bahagian dalam temasya Para Sukma edisi ke-19 ini telah meletakkan anda sebagai wirawan dan wirawati sebenar,” katanya.
Ahmad Faizal turut mengucapkan tahniah kepada dua atlet para yang telah berjaya memecahkan rekod kejohanan iaitu Nur Suraya Muhammad Zamri dalam acara lompat jauh dan Amirul Sharuddin yang memecahkan dua rekod kejohanan sekali gus iaitu dalam acara lontar peluru dan merejam lembing.
Majlis penutupan itu diserikan dengan perarakan 15 kontinjen selain pelbagai persembahan kebudayaan dan persembahan artis jemputan, Ella.
Pada majlis itu, atlet olahraga dari Sabah, Jaklon Ganding dan atlet catur negeri Sembilan, Nur Feiqha Maulad Mohd Halil, masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Para Sukma, kali ini.
Kontinjen Sarawak dinobatkan juara keseluruhan Para Sukma buat kali ke-13 berturut-turut selepas berjaya mengumpul 61 pingat emas, 62 perak dan 60 gangsa manakala naib juara dimiliki kontinjen Sabah dengan pungutan 36 pingat emas, 28 perak dan 30 gangsa.
Tuan rumah Perak pula menduduki tempat ketiga dengan pungutan 29 pingat emas, 33 perak dan 22 gangsa.
Temasya kali ini yang berlangsung selama lima hari mulai 24 November menyaksikan penyertaan 2,046 atlet, pegawai, pengurus dan jurulatih daripada 15 kontinjen yang bertanding.
Sebanyak 10 sukan dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, boccia, catur, memanah, ping-pong, powerlifting, tenpin boling dan boling padang membabitkan sembilan venue sekitar Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!