Kuipsas kini diiktiraf universiti penuh: MB Pahang
KUANTAN - Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) dianugerahkan taraf sebagai universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkuatkuasa Khamis lalu.
Surat dan Sijil Kelulusan disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kepada Menteri Besar Pahang merangkap Pro Canselor Kuipsas, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy berkata, dengan statusnya sebagai universiti kini, Kuipsas diharap dapat meningkatkan hasil penyelidikan dan kualiti graduan.
Menurutnya, pengiktirafan itu juga mampu menjadi pemangkin kepada Kuipsas untuk muncul sebagai sebuah institusi pengajian tinggi ulung bukan sahaja di Pahang tetapi di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
"Penubuhan Kuipsas pada 27 Ogos 1996 bermula sebagai Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas) merupakan satu lakaran kejayaan yang harus diingati seluruh rakyat Pahang.
"Sepanjang penubuhannya, Kuipsas melahirkan graduan dalam pelbagai bidang dan merupakan antara aset terpenting pembangunan modal insan bagi negeri ini," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.
Wan Rosdy berkata, pendekatan Kuipsas yang mengintegrasikan pembangunan ukhrawi dan kemahiran berteraskan industri merupakan ciri unik yang harus dikekalkan dan diperkasakan demi masa depan generasi akan datang.
Kuipsas merupakan sebuah IPT milik penuh Kerajaan Negeri Pahang dan dinaiktaraf sebagai kolej universiti sejak Oktober 2015.
Melalui pengiktirafan Kuipsas sebagai universiti penuh, Pahang kini mempunyai dua universiti kampus utama termasuk Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Sektor pengajian tinggi di negeri ini turut rancak melalui kampus cawangan beberapa universiti termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),Universiti Teknologi Mara(UiTM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan beberapa kolej swasta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!