Warga Bangladesh dalang kegiatan cetak logo jenama tiruan

Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam serbuan di dua buah kilang di Kuala Lumpur pada Isnin.
Ariffin (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam serbuan di dua buah kilang di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegiatan premis kilang percetakan logo jenama terkenal yang beroperasi secara haram terbongkar dalam dua serbuan di ibu negara pada Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan kira-kira jam 10 pagi bertindak merampas 121 acuan (mould) yang digunakan bagi mencetak logo jenama popular, 4,630 helai pakaian dan satu set komputer dengan nilai keseluruhan dianggar berjumlah RM100,000.

Menurutnya, operasi hasil risikan selama satu bulan itu percaya pakaian yang telah dicetak akan dijual kepada pemborong utama di sekitar Lembah Klang sebelum diedar di seluruh negara.

"Setiap tempahan ini akan diterima kilang berkenaan sebelum cetakan dibuat dengan kuantiti yang besar.

"Siasatan mendapati kilang percetakan ini telah beroperasi lebih satu tahun lalu dengan didalangi suspek warga Bangladesh," katanya dalam sidang akhbar di Stor Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di dua buah kilang di Kuala Lumpur pada Isnin.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan di dua buah kilang di Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya bertindak menahan pemilik kilang terbabit berusia 62 tahun yang merupakan warga tempatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, KPDNHEP Kuala Lumpur percaya pihaknya berjaya menumpaskan satu rangkaian utama sindiket barang tiruan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Dalam perkembangan lain, statistik tahun ini merekodkan 23 kes di bawah Akta Cap Dagangan dengan nilai rampasan mencecah RM3.51 juta.

KPDNHEP Kuala Lumpur akan terus membanteras kegiatan penjualan barang tiruan dalam usaha melindungi hak serta cap dagangan di negara ini. Mana-mana individu diingatkan supaya tidak terlibat dalam kegiatan haram ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!