Kadar takungan air empangan Selangor lebih 90 peratus: Amirudin
SHAH ALAM - Kadar takungan air di empangan seluruh Selangor sehingga 22 Mac melebihi 90 peratus kecuali di empangan Sungai Tinggi dan empangan Sungai Langat iaitu masing-masing pada kapasiti 88.72 peratus dan 87.96 peratus, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini telah memasuki fasa kedua Monsun Timur Laut yang kurang taburan hujan, cuaca kering serta panas sehingga hujung bulan ini dan menyebabkan paras air empangan dijangka mengalami penurunan.
“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan pemantauan rapi dan bersedia dengan langkah mitigasi bagi memastikan kuantiti sumber air mencukupi dan bekalan air terawat berjalan dengan lancar,” katanya ketika merasmikan Forum Air Selangor yang bertemakan “Nilai Air” sempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Negeri Selangor secara maya pada Selasa.
Beliau berkata, forum itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan sumber air dalam proses pembangunan yang memberi impak kepada kualiti, kuantiti dan alam sekitar.
“Permintaan ke atas air semakin meningkat selaras dengan perkembangan pesat kemajuan dan populasi yang semakin bertambah menjadikan kekurangan air sebagai salah satu cabaran utama di kebanyakan negara termasuk di Malaysia dan juga di Selangor,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!