Wanita maut kereta rempuh tiang elektrik
MERSING - Seorang wanita maut apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang tiang elektrik di Jalan Tanjung Resang, Kampung Tenglu, Endau, di sini pada Selasa.
Kemalangan pada jam 10.26 pagi itu mengakibatkan Nadia Md Tahir, 31, cedera parah manakala kereta Perodua Axia dipandunya remuk teruk.
Mangsa terperangkap di tempat duduk pemandu di dalam kereta tersebut yang masuk ke dalam parit di sebelah jalan berkenaan.
Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Penguasa Bomba Azwan Othman berkata, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 11.38 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!