47 tahanan warga Malaysia dibebaskan
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan lewat petang ini selepas beberapa perundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.
Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang mengesahkan perkara itu berkata keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.
“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan kita sudah melihat dan meneliti semua perkara bahawa tahanan dari Malaysia telah di tipu terdaya oleh sindiket ejen perkerjaan.
“Kita juga melihat daripada segi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wisma Putra pada Khamis lalu mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
Dr Mustapha berkata selain Wisma Putra, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dari Sarawak turut berada di Kemboja beberapa hari lalu untuk membincangkan cara penyelesaian bagi membebaskan tahanan terbabit.
Dalam pada itu ibu kepada salah seorang tahanan Zunita Sedini sebelum ini berkata anaknya Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga AS$1,500 (lebih RM6,000), namun semuanya hanya sandiwara apabila setibanya di Kemboja mereka tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan.
Berikut merupakan rentetan penahanan 47 rakyat Malaysia di penjara wilayah Banteay Meanchey di Kemboja sejak 11 Disember 2018:
- 7 Februari 2019 : Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien pada sidang media mendedahkan 47 rakyat Malaysia berusia 18 hingga 21 tahun yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia ditahan di sebuah penjara di negara terbabit.
Dalam satu kenyataan pada yang hari sama, Kementerian Luar mengesahkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember lepas namun hanya dimaklumkan secara lisan oleh polis Bantey Meanchey pada 28 Disember.
Menurut kenyataan itu, mereka ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
- 10 Februari 2019 : Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata Wisma Putra bersama pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh giat menjalankan rundingan dengan pegawai kanan Kemboja agar kesemua tahanan dapat dibebaskan segera.
- 11 Februari 2019 : Ketua Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican turut mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan Kemboja bagi membantu mencari jalan penyelesaian.
Dalam usaha itu Dr Mustapha menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan.
- 12 Februari 2019: Oknha Datuk Dr Othsman Hassan berjumpa dengan kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan bagi mengetahui masalah mereka.
- 13 Februari 2019 : Sng bersama sekumpulan wakil media dan wakil keluarga berlepas ke Kemboja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) bagi meninjau situasi sebenar dan melihat keadaan mereka di sana.
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah turut menghubungi Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Prak Sokhonn, yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa bagi menzahirkan hasrat Malaysia agar kesemua 47 warga Malaysia itu dibebaskan segera pada hari yang sama.
- 15 Februari 2019 : Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan selepas beberapa rundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.
Keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!