Rusuhan kuil: Polis terus berkawal malam ini

Kelihatan keadaan tenang yang dikawal oleh anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan pada tinjauan malam ini. - Foto Bernama
Kelihatan keadaan tenang yang dikawal oleh anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan pada tinjauan malam ini. - Foto Bernama
A
A
A
SUBANG JAYA - Kehadiran anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terus berkawal di sekitar kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights malam ini, melegakan penganut agama Hindu yang mengunjung kuil itu untuk menunaikan ibadat mereka.

Setakat 11 malam ini, tinjauan Bernama mendapati orang ramai masih lagi berkunjung ke kuil bagi menunaikan ibadat namun tiada sebarang kekecohan dilaporkan berlaku setakat ini.

Seorang pengunjung wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Pria berkata dia hadir ke kuil hari ini untuk menunaikan ibadat serta berdoa agar tiada lagi insiden ganas berlaku.

“Saya memang berharap keadaan pulih seperti biasa, memang saya tidak menyokong apa jua bentuk keganasan.

Ini tempat ibadat dan semua pihak perlu hormat, jangan timbulkan kekecohan seperti insiden sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung lelaki berusia 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Kumar berkata beliau mencadangkan agar kuil ini ditutup selepas pukul 10 malam bagi mengelak sebarang kekecohan atau insiden tidak diingini.

“Kalau hari biasa, memang kuil akan ditutup selepas pukul 10 malam kecuali jika ada perayaan atau majlis tertentu. Jadi tidak salah kalau ia ditutup, keadaan mungkin akan lebih tenang,” katanya.

Lokasi kuil itu masih menarik perhatian pengamal media dengan puluhan mereka masih berkampung di sekitar kuil bagi melaporkan perkembangan terkini susulan insiden rusuhan semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor hari ini berkata jumlah tangkapan susulan kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman meningkat kepada 30 daripada 21 orang semalam.
Artikel Berkaitan:


Insiden kekecohan yang berlaku awal pagi Isnin dan semalam menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah selain perusuh membakar 23 kenderaan dan merosakkan sebuah bangunan berhampiran. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!