Sisa plastik dari AS adalah barang dagangan
PUTRAJAYA - Sisa plastik dari Amerika Syarikat yang tiba pada Sabtu lalu merupakan barang dagangan HS3915 iaitu sisa plastik jenis Polyethylene.
Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemeriksaan yang dijalankan terhadap dua buah kontena berkenaan mendapati sisa plastik tersebut bersih, homogenous dan memenuhi kriteria yang telah disyaratkan di dalam lesen import sisa plastik kepada pengimport.
"Selaku Competent Authority kepada Basel Convention, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan sisa plastik tersebut adalah mematuhi kriteria B3011 Basel Convention," katanya pada Selasa.
Menurutnya, pengimportan sisa plastik B3011 ini tidak memerlukan prosedur Prior Inform Consent (PIC) dan notifikasi dari negara pengeksport.
"Semakan JAS ke atas premis pengimport juga mendapati ia mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik secara Environmental Sound Manner (ESM)," katanya.
Beliau berkata, kerajaan amat menghargai sebarang maklumat awal yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan sisa plastik merentas sempadan ke Malaysia.
"Saya ingin menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk mengimport sebarang sisa ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi perundangan dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan," katanya.
Sebelum itu, JAS melakukan pemeriksaan terhadap kontena berkenaan yang tiba di Pelabuhan Klang dari Los Angeles.
Pemeriksaan turut mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN),
Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejaldan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Westport Malaysia Sdn Bhd.
Sebelum ini, pihak berkuasa pelabuhan diarah memantau dan menahan kapal berkenaan untuk diperiksa dan akan diusir sekiranya ia dicemari bahan buangan terjadual ataupun kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!