Food Bank elak bazir makanan
KUALA NERUS - Program Food Bank Malaysia menjadi titik permulaan usaha kerajaan meringankan kesan kenaikan kos sara hidup dan mengurangkan pembaziran makanan di kalangan rakyat Malaysia.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) Terengganu turut melaksanakan projek perintis di negeri ini yang bermula awal tahun lalu.
Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, program itu bertujuan untuk mengurangkan jumlah lebihan makanan yang tidak terjual di pasar raya dengan menyumbang kepada bank makanan.
Menurutnya, bank makanan dan organisasi lain yang terlibat seterusnya akan membantu untuk menyalurkan sumbangan makanan makanan tersebut kepada golongan yang memerlukan.
"Projek perintis ini telah dilaksanakan di Terengganu oleh Kelab Sahabat Maruuf Terengganu dengan kerjasama Pasaraya Xiri dan sudah bermula sejak 2 Januari lalu.
"Sehingga kini, lebih 100 kilogram sayur-sayuran diedarkan kepada 216 penerima memerlukan sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus," katanya di Majlis Pelancaran Gerakan Pengguna Siswa Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail, di sini.
Sementara itu, Kementerian turut memperkenalkan saluran aduan melalui aplikasi Whatsapp bagi memudahkan golongan pengguna menghantar butiran aduan ke nombor 019-279 4317.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!