Pulau Pinang akan mohon kebenaran MKN adakan sidang DUN
GEORGETOWN - Pulau Pinang akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memohon kebenaran untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat memperuntuk sidang DUN boleh dipanggil walaupun Parlimen tidak bersidang melalui syor yang dikemukakan Yang Dipertua Negeri kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Melalui proses rundingan Yang Dipertua Negeri dan Yang di-Pertuan Agong, yang mana syor itu tidak mengikat baginda, maka Yang di-Pertuan Agong boleh membuat apa-apa pertimbangan sewajarnya di bawah Seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat tersebut.
“Oleh kerana kuasa-kuasa itu akan diguna pakai menurut Ordinan Darurat yang berhubung dengan penularan wabak Covid-19 maka cadangan penetapan tarikh memanggil sidang DUN itu sewajarnya dikemukakan kepada MKN terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam ucapan penutup pada sesi libat urus antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini pada Selasa.
Sesi libat urus itu yang bermula Isnin diadakan sebagai ganti kepada persidangan DUN Pulau Pinang yang tidak dapat diadakan semasa tempoh darurat.
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, jika terdapat ADUN yang berpandangan sesi libat urus lebih sesuai, kerajaan negeri terbuka kepada cadangan untuk mengadakannya sekali lagi jika DUN tidak dapat bersidang dalam tempoh beberapa bulan ini.
Beliau turut menjawab soalan wakil rakyat Air Putih Lim Guan Eng berhubung had umur 21 tahun warganegara untuk melayakkan diri sebagai calon ADUN yang wajar diturunkan kepada 18 tahun.
Katanya, Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee sedang berusaha dalam mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengadakan libat urus serta soal selidik dan rata-rata maklum balas menyokong perkara itu.
“Tetapi bagi (membolehkan) warganegara berumur 18 tahun menjadi calon dalam pertandingan DUN memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri kerana ada perkara menyentuh tentang kelayakan mana-mana orang yang layak bertanding sebagai calon, yang masa ini ditetapkan pada umur 21 tahun.
“Kita akan menyusuli perkara ini dan kalau boleh, apabila DUN bersidang semula, ia dapat dibentangkan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!