20,000 unit RMM menjelang tahun 2023

Alias (kiri) mengiringi Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat model RMM selepas Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II, Marang pada Selasa.
Alias (kiri) mengiringi Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat model RMM selepas Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II, Marang pada Selasa.
A
A
A

MARANG - Sasaran Terengganu untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik (RMM) sebagai kemudahan kepada rakyat negeri ini dijangka dapat dicapai menjelang tahun 2023.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, setakat ini sebanyak 12,555 unit atau 62.78 peratus RMM sudah dibina dan tersenarai dalam perancangan pembinaan.

Menurutnya, baki sebanyak 7,445 unit RMM lagi diharap dapat dipenuhi dalam tempoh dua tahun lagi bagi membolehkan sasaran tersebut dicapai sejak ia dilaksanakan pada tahun 2018.

"Projek RMM bermula pada tahun 2018, awalnya kita sasarkan ia siap dalam tempoh empat tahun namun pandemik Covid-19 yang melanda negara bermula tahun lalu menyebabkan projek ini tergendala susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sekarang kita mulakan kembali projek ini bagi memastikan sasaran menyediakan 20,000 unit RMM kepada rakyat dapat dicapai," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II, di sini pada Selasa.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebanyak 238 unit RMM Bukit Gasing II melibatkan rumah jenis A dan jenis B akan dibina di atas tanah berkeluasan 7.36 hektar.

RMM jenis A berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi 3 bilik tidur dan 2 bilik air akan dijual dengan harga RM80,000 untuk golongan B40 manakala jualan 65 unit RMM jenis B yang berkeluasan 900 kaki persegi pula ditetapkan pada harga RM185,000.

Artikel Berkaitan:

Dr Alias berkata, RMM Bukit Gasing II melibatkan kos sebanyak RM34 juta merupakan projek perumahan mampu milik kelima yang menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini kerajaan sudah melancarkan empat projek RMM iaitu di Tajin, Hulu Terengganu, Tok Jembal, Kuala Nerus, Tempinis, Jabi, Besut dan Gong Cengal 11, Kemaman.

"InsyaALLAH tahun ini empat lagi projek dijangka siap dan diagihkan kepada rakyat iaitu di Pulau Redang (160 unit), Tajin (250 unit), Bukit Nenas, Tepoh (500 unit) dan Tok Jembal (160 unit).

"Kerajaan juga dalam perancangan untuk membina dua lagi projek perumahan baharu iaitu di Pulau Duyong dan Hiliran Jejawi, Kuala Terengganu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!