Tiada kompromi syarikat dera pekerja, kata menteri

Saravanan (kanan) melihat pasport pekerja warga asing ketika membuat lawatan ke loker pasport selepas Majlis Perjumpaan Menteri Sumber Manusia Bersama Pekerja Ladang Sime Darby Plantation Berhad di Dewan Sri Sungai Buaya Banting pada Selasa. - Foto Bernama
Saravanan (kanan) melihat pasport pekerja warga asing ketika membuat lawatan ke loker pasport selepas Majlis Perjumpaan Menteri Sumber Manusia Bersama Pekerja Ladang Sime Darby Plantation Berhad di Dewan Sri Sungai Buaya Banting pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang didapati mendera pekerja mereka.

Namun katanya, jika syarikat terbabit didapati tidak bersalah, ia tidak wajar 'dihukum' seperti mengenakan sekatan import dan sebagainya oleh negara lain.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat yang dilapor telah memulakan sitaan ke atas produk sarung tangan pakai buang Top Glove di semua pintu masuk pelabuhan negara itu, atas alasan syarikat tersebut menggunakan buruh paksa.

“(Tapi) Top Glove masih ada ruang untuk merayu,” kata Saravanan kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Pekerja-pekerja Ladang Sime Darby Plantation Berhad, di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Sarung tangan tertentu Top Glove didakwa dihasilkan buruh paksa

AS rampas sarung tangan, Top Glove dapatkan penjelasan

Tahun lepas, Saravanan dilaporkan berkata, dakwaan bahawa Top Glove menggunakan buruh paksa adalah tidak berasas susulan siasatan yang dijalankan kementerian itu.

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataan bersempena perjumpaan tersebut berkata, kementerian turut mengadakan sesi dialog bersama pekerja ladang bagi menerangkan tentang Projek Perumahan Pekerja di bawah Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE).

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, SKRE merupakan inisiatif kerajaan berbentuk dana pusingan diberikan khusus kepada semua pekerja ladang yang layak dengan menawarkan kemudahan pinjaman mudah berserta kadar faedah terendah pada dua peratus yang boleh dipohon melalui Bank Simpanan Nasional.

Objektif SKRE ialah untuk menangani isu pemilikan rumah dalam kalangan pekerja ladang dan juga membantu para pekerja yang berdepan masalah kehilangan tempat tinggal sekiranya pengurusan ladang bertukar atau sesebuah ladang dijual bagi tujuan pembangunan.

Skim tersebut merupakan antara usaha bagi menarik minat dan mengekalkan pekerja tempatan untuk terus bekerja di ladang sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!