MITI teliti dakwaan Top Glove guna buruh paksa
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti laporan penuh dakwaan oleh Amerika Syarikat (AS) bahawa Top Glove Corp Bhd menggunakan buruh paksa dalam operasi pengeluaran sarung tangan pakai buangnya di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MITI sementara itu akan terus membantu industri untuk memahami keperluan pasaran eksport Malaysia dan menyelesaikan sebarang masalah berkaitan perdagangan dan pelaburan.
"Kami belum lagi menjalankan sebarang siasatan dan sudah tentunya perlu melihat laporan penuh. Kementerian sedang meneliti butiran terperinci dan sudah pastinya akan mempermudahkan industri kita.
"Ini merupakan urusan dasar domestik AS yang perlu dipatuhi oleh industri kita,” katanya kepada pemberita di luar acara majlis pemeteraian perjanjian antara Widad Business Group dan Bin Zayed International LLC, di sini pada Selasa.
Mohamed Azmin berkata, MITI telah mengadakan beberapa siri sesi capaian untuk meningkatkan pemahaman dan mewujudkan kesedaran tentang keperluan kawal selia industri pasaran eksport termasuk AS.
Menurut laporan berita antarabangsa pada Selasa, Jabatan Kastam dan Perlindungan sempadan AS (CBP) telah menerbitkan dapatan buruh paksa terhadap Top Glove Corp Bhd dalam Customs Bulletin dan Federal Register.
CBP AS telah mengarah pihak berkuasa di semua pelabuhan AS mula membuat rampasan sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh Top Glove. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Sarung tangan tertentu Top Glove didakwa dihasilkan buruh paksa
AS rampas sarung tangan, Top Glove dapatkan penjelasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!