Skuad hoki negara sedia sahut cabaran
SKUAD hoki negara sedia menyahut cabaran ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sekiranya dipanggil menggantikan Afrika Selatan yang diberitakan berdepan masalah kewangan menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.
Pengurusnya, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, perkara itu disifatkannya peluang terbaik untuk skuad negara beraksi di pentas Olimpik.
Menurut Mirnawan, pemain juga berpeluang menimba pengalaman apabila berdepan dengan gergasi hoki terbaik dunia yang turut beraksi di Tokyo.
“Seperti yang kita sedia maklum sebagai platform sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik hanya membariskan pasukan-pasukan terbaik di dunia.
“Di Sukan Olimpik ini, banyak perkara yang boleh kita pelajari terutamanya dari segi persediaan kita untuk menghadapi kejohanan-kejohanan lebih besar selepas ini seperti Kejohanan Dunia, Sukan Asia dan juga Sukan Olimpik Paris 2024.
“Oleh itu saya selaku pengurus pasukan sedia menyahut cabaran ini bak kata pepatah, ‘kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan’ dan saya juga percaya, pemain juga bersedia jika kita terpilih menyertai Sukan Olimpik kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sebelum ini tular di media sosial mengatakan skuad hoki negara yang berada pada ranking ke-11 dunia, adalah pasukan gantian pertama akan dipanggil Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), bagi menggantikan Afrika Selatan.
Ia berikutan dakwaan Afrika Selatan berdepan masalah kewangan dan memerlukan dana RM1 juta meliputi kos pengangkutan, penginapan dan perlawanan ujian di benua Asia bagi menyertai Sukan Olimpik 2020 di Jepun.
Bagaimanapun, slot itu akan diberikan pula kepada pasukan ranking ke-12 dunia, Perancis sekiranya skuad negara menolak peluang berkenaan.
“Sebenarnya senario seperti ini bukan berlaku buat kali pertama kerana ia pernah berlaku sebelum ini dalam sukan hoki dan juga sukan-sukan lain.
“Jika anda masih ingat Euro 1992, Denmark yang dipanggil bagi menggantikan Yugoslavia, akhirnya muncul juara kejohanan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Mirnawan menegaskan biarpun pihaknya bersetuju menyahut cabaran bagi menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 menggantikan Afrika Selatan, keputusan akhir berhubung perkara tersebut hanya boleh diputuskan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
“Hanya pihak MHC yang boleh membuat keputusan dalam perkara ini, namun bagi saya selaku pengurus dan juga bekas ketua pasukan hoki negara, kita sentiasa bersedia dan terbuka jika kemungkinan itu (sertai Olimpik) akan terjadi.
“Sebelum ini pemain berlatih secara atas talian dan selepas ini buat pertama kali dalam setahun, mereka (pemain) akan beraksi dalam saingan kompetitif seperti Piala Razak, Piala Sultan Azlan Shah dan Hoki Trofi Juara-Juara Asia termasuk beberapa perlawanan pendedahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!