Mimbar Masjid Kariah Nerasau meniti usia 200 tahun

Dr Harleny Abd Arif menerangkan corak serta ukiran yang terdapat pada mimbar Masjid Kariah Kampung Narasau yang diukir oleh Baba Husin dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia ketika ditemu ramah Bernama, baru-baru ini. - Foto Bernama
Dr Harleny Abd Arif menerangkan corak serta ukiran yang terdapat pada mimbar Masjid Kariah Kampung Narasau yang diukir oleh Baba Husin dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia ketika ditemu ramah Bernama, baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

REMBAU - Keunikan mimbar Masjid Kariah Nerasau di sini yang kini mendekati usia 200 tahun membuktikan keunggulan agama Islam di negara ini terpelihara sejak sekian lama.

Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Harleny Abd Arif berkata, mimbar yang diukir oleh Baba Husin dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia itu mempunyai inskripsi lengkap, iaitu berbeza dengan mimbar lain dalam kajiannya sebelum ini.

Beliau berkata, inskripsi lengkap ini telah mengesahkan usia sebenar sesebuah mimbar dan setakat ini menerusi kajian terhadap sejumlah mimbar tertua dalam negara, mimbar di Masjid Kariah Nerasau dan Masjid Kariah Kampung Selemak dekat sini, mempunyai inskripsi lengkap.

Jelasnya, mimbar Masjid Kariah Nerasau itu berusia 183 tahun manakala Masjid Kariah Kampung Selemak pula berusia 177 tahun, dan berdasarkan maklumat daripada inskripsi, kedua-dua mimbar itu diukir oleh individu yang sama.

"Daripada kebanyakan mimbar yang saya kaji di masjid-masjid lama dalam negara, setakat ini hanya mimbar di Masjid Kariah Nerasau yang mempunyai inkripsi paling lengkap iaitu terdapat waktu, hari bulan beserta tahun hijrah, nama dan tempat kelahiran pengukir seperti yang tertera pada panel gunungan mimbar itu,” katanya kepada Bernama.

Memperincikan kesenian mimbar berkenaan, beliau berkata, seni khat pada inskripsi gunungan mimbar Masjid Kariah Nerasau itu mendekati seni khat Nasakh, dan gaya seni itu ditampilkan dalam versi Jawi yang disusun secara bertindan.

Terjemahan inskripsi itu dalam versi rumi adalah: "Hijrah Nabi S.A.W sanah 1,254 iaitu tahun di antara hari bulan Jamadil Akhir hari Isnin waktu Dhuha maka adalah Tuan Haji Jalil Abdul Rahman ia memelihara Masjid An Nur. Tukangnya orang Jawa nama Baba Husin Jepara Barongan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Usia mimbar tersebut berusia 183 tahun, antara mimbar tertua dalam negara. - Foto Bernama
Usia mimbar tersebut berusia 183 tahun, antara mimbar tertua dalam negara. - Foto Bernama

Masjid Kariah Nerasau merupakan antara masjid tertua di Negeri Sembilan dibina secara bergotong-royong oleh masyarakat setempat diasaskan oleh Abdul Jalil Abdul Rahman.

Meskipun masjid itu telah dibuat penambahbaikan bersesuaian dengan pertambahan penduduk di kawasan itu, namun keaslian ruang dalam binaanya seperti ruang mihrab serta mimbar tertua itu masih utuh berdiri, digunakan lebih 10 imam di masjid berkenaan.

Harleny berkata, panel ukiran mimbar Masjid Kariah Nerasau dengan ketinggian mencecah tiga meter, menampilkan ragam hias (corak) jenis mekar sejunjung pada bahagian panel gunungan dengan aplikasi teknik ukiran tebuk tembus bersilat dan tebuk timbul bersilat.

Beliau menjelaskan, maksud ragam hias dalam konteks reka bentuk mimbar mencakupi corak (pengulangan motif) pada keseluruhan permukaan mimbar atau panel tertentu pada bahagian mimbar.

"Ragam hias itu menampilkan komponen bunga mahkota, bunga dan daun yang melatari panel gunungan mimbar. Komponen utama adalah bunga mahkota bermotifkan bunga teratai yang diolah dalam tiga kelopak dari pandangan sisi," katanya.

Jelasnya, selain motif bunga teratai, mimbar itu turut mempamerkan motif bunga ketumbit yang disusun secara berulang.

Bagi mimbar Masjid Selemak pula, Harleny menyifatkan ia adalah mimbar adik-beradik dengan mimbar Masjid Kariah Nerasau, yang hanya berselisih usia enam tahun, kerana diukir oleh pengukir yang sama.

Sementara itu, Imam Masjid Kariah Nerasau Mohamad Yusof Hashim berkata masjid itu merupakan tumpuan penduduk di Kampung Solok Bangkung, Kampung Ampangan Penajih, Kampung Relung, Kampung Nerasau dan Kampung Chenong yang boleh memuatkan 300 orang jemaah.

Mohamad Yusof, 64, berkata, beliau yang berkhidmat sebagai imam di Masjid itu lebih 10 tahun sangat mengagumi hasil seni ukiran mimbar dan masjid itu yang masih kekal utuh walaupun sudah berusia ratusan tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!