Sejalan tak sehati?
AWANG yang tak pandai politik ini pun boleh rasakan ada yang tak kena dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang baru lalu.
Kata orang tua-tua macam sejalan tapi tak sehati. Memang suara perwakilan lantang dan jelas nak jayakan parti, nak lawan musuh, nak tinggalkan Perikatan Nasional (PN), tapi nadanya tak sama.
Banyak sangat 'tapi' dan banyak sangat kenyataan tak jelas. Macam tarikh nak keluar dari kerajaan, 'bila-bila masa' atau 'terserah Majlis Tertinggi'.
Sedangkan sepatutnya ambil cara Ku Li, 'sekarang!' Tak usah tangguh-tangguh lagi. Baru betul anak jantan!
Seingat Awang keputusan akar umbi sudah jelas nak tinggalkan kerajaan PN. Presiden UMNO pun dalam ucapannya bayangkan menteri, timbalan menteri dan mereka yang dilantik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan undur diri bagi tunjuk solidariti parti.
Cakap memang senang. Tak semua sehati dan sejiwa dalam pelaksanaan. Tak mudah nak tinggalkan kerusi empuk dan kedudukan selesa. Masing-masing kena fikir dua kali. Oleh sebab itu Presiden tak berani paksa. Takut ada pemberontakan.
Ada yang kata UMNO ada macam-macam kluster: kluster mahkamah, kluster menteri, kluster mereka yang tak berjawatan dan yang terbaru, kluster Tan Sri Annuar Musa.
Seorang pemimpin veteran UMNO berbisik pada Awang sebetulnya parti itu sekarang berpuak-puak, tapi dalam PAU cuba nak tunjuk perpaduan. Yang sebetulnya makin nampak perpecahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!