Aguero tidak ada pengganti
PENGENDALI Manchester City Pep Guardiola menegaskan tidak ada pengganti buat tonggak penyerangnya Sergio Aguero yang bakal meninggalkan skuad The Citizens itu pada penghujung musim.
Menurut Guardiola, setakat ini belum ada pemain yang mampu menandingi bintang Argentina itu yang telah diiktiraf selaku penjaring City sepanjang zaman.
“Bagi saya, Aguero memang tidak ada galang gantinya. Bukan mudah untuk beraksi dalam 384 perlawanan, 257 gol dan memenangi beberapa kejuaraan.
“Jelas, dia (Aguero) adalah legenda dan penyerang terbaik pernah dimiliki kelab ini bagi abad ini.
“Dia juga akan sentiasa berada di hati penyokong, rakan-rakan sepasukan termasuk pihak pengurusan pasukan,” katanya.
Aguero, 32, sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan City pada musim panas ini setelah beraksi selama 10 tahun di Etihad.
Sepanjang tempoh berkenaan, Aguero telah membantu City menjulang empat trofi Liga Perdana Inggeris (EPL), satu gelaran Piala Liga Inggeris dan lima Piala FA Inggeris selain membantu City beraksi dalam beberapa pertandingan termasuk Liga Juara-Juara.
Paling diingati pastinya jaringannya pada masa kecederaan ketika berdepan Queen’s Park Rangers (QPR) untuk mengesahkan trofi EPL musim 2011/2012 menjadi milik City buat kali pertama sejak 1968.
Sementara itu Guardiola berkata, kehadiran penyerang baharu City kelak dilihat tidak akan mampu menggantikan ‘peranan’ Aguero di Etihad selama ini.
Katanya, biarpun City dikhabarkan berusaha membawa pemain Aston Villa, Jack Grealish dan Eerling Haaland (Borussia Dortmund) ke Etihad, namun ia mungkin agak sukar untuk menandingi apa yang telah dilakukan oleh Aguero.
“Kita masih ada dua bulan sebelum penghujung musim ini dan hari ini pada sesi latihan hari ini saya melihat Aguero yang begitu komited dan bersungguh-sungguh pada sesi latihan.
“Saya pasti jika mindanya masih agresif, dia mampu meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak untuk empat atau lima tahun lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!