Pengurusan kewangan berhemat mampu tangani cabaran luar jangka: BNM

Pengurusan kewangan boleh menjadikan kehidupan seseorang bertambah baik dengan mempunyai lebih banyak kebebasan dan ketenangan fikiran.
Pengurusan kewangan boleh menjadikan kehidupan seseorang bertambah baik dengan mempunyai lebih banyak kebebasan dan ketenangan fikiran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan kewangan yang baik adalah tanggungjawab yang harus dimiliki oleh seseorang untuk mengelak kesukaran dan cabaran besar yang dihadapi dalam kehidupan, terutama semasa kejadian luar jangkaan seperti pandemik baru-baru ini, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Laporan Tahunan 2020, bank pusat itu berkata, pengurusan kewangan boleh menjadikan kehidupan seseorang bertambah baik dengan mempunyai lebih banyak kebebasan dan ketenangan fikiran.

“Persediaan untuk menghadapi perubahan keadaan kehidupan adalah penting. Seperti yang dialami semasa pandemik baru-baru ini, cabaran yang tidak dijangka boleh mengubah kehidupan kita melalui pelbagai keadaan yang tidak diduga,” katanya.

BNM berkata, pengguna perlu mengetahui langkah-langkah yang boleh diambil apabila menghadapi keadaan cabaran yang tidak dijangka.

Katanya, pengguna yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik hutang perlu mendapatkan bantuan awal dan membincangkan situasi mereka dengan institusi kewangan masing-masing.

Sebagai pilihan lain, pengguna yang menghadapi masalah boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit untuk mendapatkan bantuan, ini termasuk kaunseling kewangan dan khidmat nasihat yang praktikal mengenai pengurusan kewangan.

Pemahaman mengenai konsep kewangan asas akan membantu pengguna untuk lebih menghargai akan pentingnya pengurusan kewangan secara berhemat, terutamanya simpanan dan membina dana kecemasan.

BNM berkata, penampan yang mencukupi adalah apabila seseorang itu mempunyai simpanan sebanyak tiga hingga enam bulan untuk perbelanjaan bulanan.

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian daripada pengurusan kewangan kita termasuk peminjaman secara berhemat untuk membiayai pembelian yang besar seperti rumah, kereta dan motosikal atau untuk mengembangkan perniagaan.

“Apabila membuat pinjaman tersebut, seseorang individu bukan sahaja perlu mengetahui perkara asas pinjaman serta terma dan syaratnya, tetapi juga hak pengguna,” menurut bank pusat itu.

Katanya jumlah pembayaran balik hutang bulanan seharusnya tidak boleh melebihi 60 peratus daripada pendapatan bersih peminjam, setelah mengambil kira potongan wajib untuk pembayaran cukai serta caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!