'Kenapa buang najis haiwan di tempat kami?'
SUNGAI SIPUT - Tindakan seorang pemandu lori dengan selamba membuang sisa najis haiwan berhampiran Persiaran Kledang 1, Kampung Tersusun Kledang Utama di sini mengundang resah penduduk.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu menyebabkan penduduk terpaksa hidu bau busuk sehingga rasa mual.
Perbuatan pemandu lori itu disedari seorang penduduk yang terlihat sebuah lori dalam keadaan mencurigakan memasuki lorong rumahnya dan terus membuang najis haiwan dipercayai babi di tanah kosong bersebelahan.
Penduduk, Ibrahim Yop Mohd Nasir, 44, berkata, isterinya sempat mengambil gambar lori berkenaan, bagaimanapun tidak berjaya merakam nombor pendaftaran disebabkan kabur.
"Saya balik rumah lihat guni putih mengandungi cecair kehitaman seperti najis bertaburan di dalam semak. Ada yang sudah pecah dengan isinya bertaburan.
"Kami sangka tahi ayam tetapi ada yang memaklumkan ia serupa seperti najis babi. Kami terus rasa loya dan tidak lalu duduk di hadapan rumah," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.
Menurutnya, bau busuk itu boleh dihidu lebih 200 meter apabila jiran-jiran termasuk di Taman Tun Sambanthan bersebelahan turut mencari punca bau itu.
"Kami yang tinggal bersebelahan bau busuk itu sangat menusuk hidung tidak kira siang atau malam. Sebelum ini kami sekeluarga bersantai di luar rumah, tapi sekarang terpaksa menutup pintu dan tingkap kerana bau terlampau kuat.
"Keadaan itu menyebabkan muka rasa gatal-gatal. Setiap kali balik rumah, pakaian akan rendam terlebih dahulu kerana bau yang melekat, begitu juga dengan ampaian terpaksa dialihkan," katanya.
Katanya, aduan sudah dibuat menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada hari sama.
Seorang lagi penduduk, Abd Razak Ramli, 67, berkata, kejadian itu adalah pertama dialami selepas 26 tahun menetap di kawasan berkenaan.
"Kami kecewa dengan sikap pemandu lori yang ambil mudah membuang sisa najis tanpa memikirkan kesan yang dihadapi penduduk di sini.
"Sememangnya tanah ini kosong dan ada yang buang sisa binaan di sini tetapi yang ini sangat teruk. Bau sangat kuat lagi-lagi ditiup angin," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad berkata, jabatan berkaitan sudah menerima aduan tersebut.
Beliau berkata, siasatan akan dijalankan untuk mengambil tindakan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!