Teruja dapat hadiah, wanita rugi RM17,500

Mangsa dijanjikan hadiah wang tunai dolar Amerika Syarikat (AS) 20,000 ( RM83,090) dari kenalan lelaki berasal dari Sarawak yang menetap di AS. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof)
Mangsa dijanjikan hadiah wang tunai dolar Amerika Syarikat (AS) 20,000 ( RM83,090) dari kenalan lelaki berasal dari Sarawak yang menetap di AS. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof)
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu jualan sebuah kedai kain di sini kerugian RM17,500 gara-gara kiriman 'hadiah' seorang kenalan Facebook dari luar negara.

Wanita berusia 38 tahun itu dijanjikan hadiah wang tunai dolar Amerika Syarikat (AS) 20,000 ( RM83,090) dari kenalan lelaki berasal dari Sarawak yang menetap di AS.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, hadiah tersebut sebagai tanda perkenalan mereka yang terjalin sejak Februari lalu.

Menurutnya, pada penghujung Februari, lelaki berkenaan menghubungi mangsa memaklumkan hadiah yang dijanjikan sudah dikirim.

"Seperti taktik sindiket penipuan Parcel dan Love Scam sebelum ini, mangsa diminta menjelaskan beberapa bayaran termasuk kos penghantaran, cukai barangan, cukai kastam dan sebagainya sebelum hadiah itu boleh dituntut.

"Tanpa menyedari hadiah itu sebenarnya perangkap 'scammer' mangsa sanggup mengeluarkan wangnya untuk menjelaskan bayaran itu kerana teruja dengan nilai besar hadiah yang bakal diterima," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Wazir berkata, dalam tempoh 26 Februari hingga 6 Mac lalu, mangsa telah melakukan 11 transaksi melalui sebuah akaun bank atas nama seorang wanita dengan jumlah keseluruhan RM17,500.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa gagal menuntut hadiah tersebut sebaliknya suspek meminta bayaran tambahan RM1,000 bagi meneruskan proses tuntutan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula curiga dan enggan membuat bayaran tersebut sebaliknya terus membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada Selasa," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis kini mengesan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!