'Arwah ambil berat terhadap adik-beradik'

Adam pernah menggemparkan negara selepas mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987. (Jenazah Adam dikebumikan di Dato Keramat pada Selasa. - Foto Ihsan pembaca Facebook.)
Adam pernah menggemparkan negara selepas mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987. (Jenazah Adam dikebumikan di Dato Keramat pada Selasa. - Foto Ihsan pembaca Facebook.)
A
A
A

GEORGETOWN - Adam Jaafar atau lebih dikenali sebagai Prebet Adam, 57, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada pagi Selasa.

Adiknya, Hawa Jaafar, 56, berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Beliau berkata, abangnya sebelum ini tidak mempunyai sebarang penyakit kronik, bagaimanapun dimasukkan ke hospital pada minggu lalu akibat jangkitan berkenaan.

"Arwah meninggal pada jam 9 pagi semalam (Selasa) ketika menerima rawatan di HPP.

"Sebelum ini arwah tidak mengalami sakit apa-apa, cuma kadang-kadang demam. Tapi itu biasalah. Cuma minggu lalu dia masuk hospital dan pemeriksaan doktor mendapati ada jangkitan kuman pada paru-paru," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Hawa berkata, jenazah abangnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Dato' Keramat di sini selepas solat Zohor pada Selasa.

"Kami sekeluarga sedih dengan kematian abang, namun kami semua reda dan berdoa agar arwah ditempatkan bersama orang beriman.

"Arwah merupakan anak sulung dan seorang abang yang baik terhadap kami tujuh beradik. Arwah selalu mengambil berat terhadap adik-beradiknya yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Adam pernah menggemparkan negara apabila mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Oktober 1987.

Dalam kejadian amuk itu, seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.

Adam yang berumur 26 tahun ketika kejadian bagaimanapun terlepas daripada hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan selama 10 tahun kerana disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Pada tahun 2018, isu kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai pihak selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya berhubung kejadian itu.

Susulan itu, Hawa ketika itu memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden amukan berkenaan dan menyatakan abangnya mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor.

Hawa turut menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai kedi golf kepada Almarhum, yang mana ia menjadi punca Adam mengamuk di ibu negara.

ARTIKEL BERKAITAN Prebet Adam meninggal dunia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!