PM Itali terima suntikan vaksin Astrazeneca

Mario Draghi
Mario Draghi
A
A
A

ROM - Perdana Menteri Itali, Mario Draghi menerima dos pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca pada Selasa iaitu produk sama yang diputuskan kerajaannya untuk dihentikan sementara penggunaannya awal bulan ini.

Draghi dan isterinya, Maria Serenella Cappello, kedua-duanya berusia 73 tahun mendapat vaksin di sebuah pusat di Termini, stesen kereta api utama di Rom, lapor Agensi Berita Xinhua.

AstraZeneca adalah satu daripada tiga vaksin diluluskan kegunaannya di Itali selain vaksin Pfizer / BioNTech dan Moderna. Di antara ketiga-tiganya, AstraZeneca menjadi paling kontroversi setelah laporan menyatakan ia menyebabkan masalah darah beku yang mengakibatkan dua kematian di Itali.

Selepas kematian kedua, penggunaan vaksin ditangguhkan selama empat hari yang berakhir pada 19 Mac.

Setelah menyiasat laporan tersebut, Ketua Pengarah pihak berkuasa perubatan Itali (AIFA), Nicola Magrini berkata penangguhan itu adalah keputusan 'politik' dan vaksin itu selamat digunakan.

Menurut media Itali, tujuan Draghi memilih suntikan AstraZeneca adalah untuk membina keyakinan masyarakat terhadap vaksin tersebut berikutan laporan mengenai kesan sampingannya.

Sehingga Selasa, 9.8 juta warga Itali telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada tiga vaksin yang diluluskan, manakala individu yang sudah disuntik kedua-dua dos seramai 3.1 juta, atau sekitar 5.1 peratus.

Sementara itu, 267 vaksin percubaan sedang dibangunkan di seluruh dunia - 83 daripadanya di fasa ujian klinikal - di negara termasuk Jerman, China, Rusia, Britain, dan Amerika Syarikat, menurut maklumat dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 30 Mac. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!