Undi 18: Jika libat isu teknikal, boleh selesai dalam dua tahun

Maria Chin Abdullah. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Maria Chin Abdullah. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh bersedia untuk melaksanakan Undi 18.

Beliau mendakwa, sekiranya melibatkan isu teknikal, ia boleh diselesaikan dalam tempoh dua tahun.

“Walaupun ada isu teknikal, tetapi daripada Julai 2019 sehingga sekarang sudah dua tahun. Saya masih ingat SPR memaklumkan Undi 18 mengambil masa 18 bulan atau dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-243 bertajuk ‘Tangguh Undi 18: Hak Belia Diketepi’ yang disiarkan menerusi dalam talian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Penganalisis Politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dari kiri; Ismail Adnan, Mas Ermieyati, Maria Chin dan Dr Mohd Azizuddin pada Wacana siri ke-243 membincangkan topik Tangguh Undi 18: Hak Belia Diketepi. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dari kiri; Ismail Adnan, Mas Ermieyati, Maria Chin dan Dr Mohd Azizuddin pada Wacana siri ke-243 membincangkan topik Tangguh Undi 18: Hak Belia Diketepi. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Beliau berkata, SPR menjangka semua persiapan yang sedang diambil tindakan akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada Julai, 2019.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Maria turut mengkritik alasan yang dibuat sesetengah pihak seperti masih ada keperluan untuk meminda undang-undang berkenaan kesalahan pilihan raya dan pendaftaran pemilih.

Tegasnya, sekiranya Parlimen dibuka dan disambung semula, perkara seperti itu boleh dibincangkan dan dibuat pindaan yang diperlukan.

“Kita boleh selesaikan kerana kita juga ada jawatankuasa pemilih berkenaan pilihan raya.

“Jawatankuasa pemilih boleh bantu SPR menyelesaikan masalah teknikal, undang-undang, proses ataupun prosedur,” katanya.

Beliau pada masa yang sama membidas alasan bahawa umur 18 tahun masih belum bersedia untuk mengundi.

“Saya rasa itu tidak betul. Sekarang ini zaman milenium dan anak muda sudah matang.

“Kita mesti ada kepercayaan dan beri mereka keyakinan melibatkan diri dalam proses demokrasi serta membuat keputusan siapa yang mahu dipilih sebagai wakil rakyat.

“Bagi mereka hak untuk mengundi. Ini adalah penting,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!