Data tak seragam rencatkan Undi 18
SHAH ALAM - Ketidakseragaman data atau sistem menjadi salah satu faktor kekangan untuk merencatkan pelaksanaan Undi 18, kata Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata, ia berikutan beberapa kekangan yang dihadapi pihak terbabit termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Jika kita buat Undi 18 atau undi secara automatik, ia akan melibatkan 5.6 juta warganegara berumur 18 tahun dan ke atas.
“Justeru, ada banyak perkara yang harus kita lihat. Pertama, kalau kita ikut sistem lama yang mana nak daftar sebagai pemilih, kita kena pergi ke SPR kemudian kita daftar. Itu tiada masalah.
“Tetapi kalau kita nak buat sekali gus secara automatik yang akan melibatkan 5.6 juta, ini yang akan memberikan satu dimensi dan saya kira inilah sebenarnya yang menjadi halangan kepada pihak SPR,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi ke-243 bertajuk Tangguh Undi 18: Hak Belia Diketepi yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, malam Selasa.
Wacana itu turut menampilkan panelis Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Penganalisis Politik, Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan selaku moderator.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, dakwaan yang mengatakan ahli Parlimen tidak menyokong cadangan pelaksanaan Undi 18 adalah tidak benar.
“Kita perlu melihat pada pindaan yang telah dibuat. Rang Undang-Undang (RUU) sewaktu di Parlimen sekitar Julai 2020 menyaksikan semua ahli Parlimen mendokong cadangan pelaksanaan Undi 18.
“Jadi, tidak ada soal bahawa ahli Parlimen ataupun mana-mana parti tidak menyokong Undi 18 ini,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelaksanaan Undi 18 wajar dilaksanakan ketika ini kerana belia sekarang memiliki tahap pemikiran yang sangat matang.
“Apabila ahli Parlimen bersetuju, maka mereka menerima kepimpinan dan penglibatan anak muda seawal usia 18 tahun ke dalam dimensi politik tanah air waima dalam parti politik sekalipun.
“Ini merupakan semangat baru yang saya kira cukup segar sekali dan kita juga tidak mahu ketinggalan kerana negara luar sudah pun melaksanakannya bermula seawal usia 17 tahun.
“Justeru, kalau kita lihat dalam konteks Undi 18 ini, ia adalah salah satu faktor tarikan untuk melihat sejauh mana tahap keseriusan pihak SPR dalam melaksanakan Undi 18 ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!