Jumlah siswazah melebihi pekerjaan mahir antara isu struktur pasaran

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran pekerjaan di Malaysia terus menghadapi isu struktur termasuk pergantungan berlebihan pada model pengeluaran berkos rendah, bekalan siswazah baharu yang jauh melebihi pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta ketidakpadanan kemahiran golongan tersebut dengan keperluan industri.

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi & Monetari 2020 yang dikeluarkan pada Rabu, juga menyifatkan isu-isu tersebut sebagai cabaran terhadap aspirasi negara untuk beralih kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dan hanya diburukkan lagi oleh kesan pandemik Covid-19.

Menurut bank pusat itu, walaupun terdapat sedikit penjimatan, model pengeluaran berkos rendah dan intensif pekerja merupakan strategi jangka panjang yang sukar bertahan lama terutama apabila negara-negara setara Malaysia giat menjalankan proses inovasi dan usaha menaik taraf.

“Mengikut Indeks Inovasi Global (GII) 2020 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), Malaysia menduduki tangga kelapan daripada 17 negara Asia Tenggara, Asia Timur dan Oceania.

“Selain itu, dalam Indeks Inovasi Bloomberg 2021, Malaysia di kedudukan ke-29 daripada 60 ekonomi, merosot dua anak tangga berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas kekurangan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi, BNM berkata purata bahagian pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia merosot kepada 27 peratus dalam tempoh 2010-2019 berbanding kira-kira 51 peratus sedekad lepas.

“Kajian Pengesanan Siswazah terkini oleh Kementerian Pengajian Tinggi mendedahkan fakta sama iaitu kira-kira satu pertiga siswazah akhirnya mendapatkan pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.

“Dapatan ini menyarankan bahawa ekonomi tidak berupaya mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang secukupnya untuk menyerap bilangan siswazah yang memasuki pasaran tenaga kerja, sehingga menyebabkan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi isu ketidakpadanan ketara antara kemahiran diperlukan industri dengan kemahiran pekerja, BNM berkata majikan melaporkan kekurangan kemahiran berkomunikasi (contohnya komunikasi lisan dan bertulis), kemahiran sosial (seperti kepekaan sosial dan orientasi sosial) dan kemampuan fizikal (seperti kekuatan statik dan stamina).

“Apa yang nyata, pekerjaan seperti pengurus teknologi maklumat dan komunikasi, pembangun perisian dan jurutera elektronik masih lagi tersenarai dalam setiap Senarai Pekerjaan Kritikal (COL) sejak terbitan pertamanya pada tahun 2015.

“Ini menunjukkan bahawa terdapat permintaan dan kesukaran berterusan untuk mengisi kekosongan jawatan-jawatan tersebut,” katanya.

Dari segi pendapatan pula, BNM berkata, gaji permulaan siswazah tidak berubah apabila mengambil kira perubahan inflasi.

“Pada 2018, seorang siswazah mendapat gaji permulaan purata yang dianggarkan hanya RM1,983 dalam nilai benar dan jumlah gaji ini menurun sedikit daripada RM1,993 pada 2010,” katanya.

Merujuk kesan pandemik Covid-19 terhadap pasaran pekerjaan, bank pusat itu berkata sektor yang mudah terjejas terutamanya subsektor perkhidmatan yang banyak berhubung dengan pelanggan serta subsektor berkaitan pelancongan dan perjalanan, dijangka pulih pada kadar lebih perlahan setelah mengalami gangguan operasi berulang kali sepanjang tahun 2020.

“Dari perspektif jangka panjang, pandemik Covid-19 juga berpotensi mendorong peralihan struktur selanjutnya dalam ekonomi dan pasaran pekerjaan terutama aspek pencepatan penggunaan teknologi, pendigitalan dan transformasi organisasi,” katanya.

Namun, BNM berkata, terdapat kebimbangan bahawa peralihan itu boleh menyebabkan pemulihan guna tenaga yang lebih perlahan daripada jangkaan, sekali gus menyebabkan pengangguran berterusan dan memberi kesan terhadap pendapatan serta upah.

“Dalam bidang ekonomi pekerja, keadaan ini sering dirujuk sebagai ‘histeresis’ atau fenomena ‘pemulihan tanpa pekerjaan’ iaitu suatu situasi pemulihan ekonomi yang berlaku tanpa peningkatan setara dalam guna tenaga,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!