Minuman keras, rokok bernilai RM30.14 juta dirampas

Rokok dan minuman keras bernilai lebih RM30.14 juta dirampas hasil serbuan terhadap sebuah tongkang di Tanjung Kunyit, Sungai Batang Rajang pada 12 Mac lalu. - Foto FB Ibu Pejabat Polis Sibu
Rokok dan minuman keras bernilai lebih RM30.14 juta dirampas hasil serbuan terhadap sebuah tongkang di Tanjung Kunyit, Sungai Batang Rajang pada 12 Mac lalu. - Foto FB Ibu Pejabat Polis Sibu
A
A
A

SIBU - Polis Marin Wilayah 5 merampas rokok dan minuman keras bernilai lebih RM30.14 juta hasil serbuan terhadap sebuah tongkang di Tanjung Kunyit, Sungai Batang Rajang di sini pada 12 Mac lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, nilai rampasan itu adalah terbesar dilakukan pihaknya yang turut menahan enam warga Indonesia termasuk seorang wanita berusia 22 dan 39 tahun hasil risikan dan maklumat awam.

“Sebanyak 18 kontena berisi minuman keras pelbagai jenama bernilai RM18,336,883.24 (termasuk cukai) dan rokok bernilai RM3,225,500 (termasuk cukai) telah dirampas.

“Turut dirampas kapal tunda bernilai RM6.4 juta, tongkang bernilai RM2 juta dan 35 kontena termasuk yang mengandungi barang seludup," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Sungai Merah di sini.

Beliau berkata, hasil maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, sepasukan polis marin melakukan rondaan di bawah Op Kontraban dan menemukan sebuah tongkang yang mencurigakan dipenuhi beberapa kontena berlabuh di sebuah jeti persendirian di Tanjung Kunyit sekitar jam 12.40 tengah hari pada 12 Mac lepas.

Katanya, pemeriksaan menemukan 35 kontena dan pihaknya menunggu pemilik barangan berkenaan namun selepas 10 jam tiada individu tampil menuntut barangan berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!