Harga barang naik? Tunggu minggu depan

Nuramirah(kanan) menunjukkan bekalan ayam standard yang mampu dijual PCK Fresh Mart Sdn Bhd dengan harga rendah.
Nuramirah(kanan) menunjukkan bekalan ayam standard yang mampu dijual PCK Fresh Mart Sdn Bhd dengan harga rendah.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Sebahagian peniaga runcit mengambil sikap tunggu dan lihat untuk memastikan sama ada harga barangan keperluan pengguna di Perak akan mengalami kenaikan harga bermula minggu hadapan.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis runcit dan pasar raya sekitar Parit Buntar mendapati harga barangan keperluan dan sebagainya masih dijual pada harga asal dan tidak mengalami peningkatan luar biasa.

Pemilik Pasaraya SB, S Murgis,40-an, berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima sebarang notis peningkatan harga barang daripada mana-mana pembekal, meskipun mendengar khabar angin di dalam laman sosial mengatakan perkara itu sedang berlaku.

Menurutnya, kesemua barangan keperluan harian dan sebagainya dijual di premisnya masih menggunakan harga lama dan tiada sebarang kenaikan harga dilakukan setakat ini.

Nuramirah menunjukkan bekalan tepung gandum tidak bersubsidi yang mengalami sedikit kenaikan harga ketika ini.
Nuramirah menunjukkan bekalan tepung gandum tidak bersubsidi yang mengalami sedikit kenaikan harga ketika ini.

"Cuma pada ketika ini, majoriti pembekal masih meraikan cuti perayaan Tahun Baharu Cina, jadi setakat ini kami tidak menerima sebarang notis kenaikan harga barang daripada pembekal.

"Kami tunggu dan lihat hingga minggu depan untuk tahu ada kenaikan harga daripada pembekal atau tak, jika ya, kami tiada jalan lain dan terpaksa akur untuk naikkan sedikit harga jualan kami," katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di premisnya di sini hari ini.

Sementara itu, kakitangan PCK Fresh Mart Sdn Bhd, Nuramirah Abdul Wahid, 24, berkata, harga barangan keperluan harian dan barangan basah di premisnya masih dijual pada harga terkawal dan tidak membebankan pengguna.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya mengambil contoh kemampuan premisnya menjual ayam standard dengan harga RM6.90 sekilogram, jauh lebih murah daripada harga ditawarkan premis lain di sini.

Harga barangan keperluan harian masih dikekalkan pada harga lama setakat ini.
Harga barangan keperluan harian masih dikekalkan pada harga lama setakat ini.

"Cuma kita tak nafikan sebelum ini memang ada berlaku kenaikan harga pada sesetengah barang seperti telur disebabkan kekurangan bekalan bahan itu, tapi sekarang harga telur sudah kembali stabil.

"Premis kami juga terpaksa menaikkan harga sebilangan barang seperti susu tin, tepung gandum dan barangan sejuk beku di mana anggaran kenaikan antara 10 sen hingga 50 sen," katanya.

Nuramirah berkata, kenaikan harga beberapa barangan itu terpaksa dilakukan setelah harga diterima daripada pembekal sedikit meningkat.

"Tapi, sehingga kini tak ada pelanggan yang mengadu harga mahal dan harap keadaan ini dapat berterusan," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan Parit Buntar sewaktu ditemui menegaskan tiada sebarang aduan kenaikan harga luar biasa berhubung harga barangan keperluan harian dan barangan basah diterima pihaknya sehingga kini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!